Monday, December 18, 2006

SURATAN TAKDIR

Lisa terdiam. Ryan terdiam. Masing-masing melayani perasaan. Lisa memerhatikan ombak yang menghempas pantai. Dia tidak sanggup memandang wajah Ryan di sisinya. Wajah yang penuh kehampaan dan kekecewaan.
“Kenapa baru sekarang kau terangkan pada aku semua ini? Kenapa tidak dari dulu lagi?” Ryan menyambung kembali bicaranya yang terputus.
Lisa menggelengkan kepala.
“Kenapa kau sanggup berpura-pura dengan aku? Kenapa?” Soal Ryan yang menahan sebak. Dia tidak menyangka gadis yang dincintainya itu telah membohonginya selama ini.
“Maafkan aku.” Hanya itu yang mampu diucapkan oleh Lisa saat itu.
“Tapi, kau sendiri tahukan…” Ryan menarik nafas. “Aku mencintai kau dengan ikhlas. Kenapa kau berpura menerima cinta aku?”
“Jangan kau salah anggap. Aku tak pernah cintakan kau. Aku cuma menganggap kau sahabat baik aku, tak lebih dari itu.” Ujar Lisa, dengan harapan dapat membetulkan keadaan.
“Sahabat baik? Kau kata aku ni sahabat baik? Sedangkan semua orang tahu kita adalah pasangan kekasih!” Ryan meninggikan suara.
“Mereka juga tersalah anggap. Maafkan aku. Aku perlu pergi sekarang.” Lisa tidak sanggup lagi berada lebih lama di situ.
“Tunggu dulu.” Ryan menahan Lisa. Wajahnya serius.
“Kau nak apa lagi? Aku dah terangkan segalanya.”
“Kenapa kau sanggup menolong aku ketika aku dalam kesusahan? Kenapa kau sanggup menolong aku keluar dari dunia aku yang tak menjanjikan masa depan? Kenapa kau sanggup melakukan semua itu kepadaku, bukan lelaki lain?”
“Itulah tugas aku, sama-sama membantu mereka yang memerlukan.”
“Kenapa aku yang kau pilih?” Ryan masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.
Lisa terdiam. Mulutnya seolah-olah terkunci.
“Susah sangatkah kau nak mengaku yang kau mencintai aku?”
“Ryan, aku harap kau faham apa yang telah aku terangkan. Janganlah kau nak memebelitkan kata-kata. Segalanya dah aku terangkan, terpulang kepada kau sama ada mahu menerimanya atau tidak. Tugas aku dah selesai.”
“Tugas apa yang kau maksudkan?”
“Mengubah engkau menjadi lelaki yang berguna pada bangsa, agama dan negara. Bukannya menjadi kutu lepak, pelumba haram yang menyusahkan semua orang.”
Ryan terdiam mendengar bicara Lisa. Jadi, selama ini Lisa hanya mahu membantu dirinya tetapi fikirannya telah melangkau jauh. Sangkanya, Lisa sudi membantunya kerana cinta. Dan kerana cintanya kepada Lisa, maka dia sanggup beubah.
Lisa mengatur langkah. Ingin sahaja dia berlari dari situ. Dia tidak sanggup lagi bertentang mata dengan lelaki yang amat dicintainya. Lelaki yang dalam kehampaan. Sebenarnya, Lisa sendiri berada dalam kekecewaan. Dia kecewa dengan apa yang telah ditakdirkan. Namun dia tetap akan tabah mengharungi segala dugaan.

Lisa masih belum dapat melelapkan mata. Kenangan petang tadi masih mengganggu fikirannya. Terasa ingin diundur masa untuk kembali kepada lelaki yang dicintainya. Tetapi dia sedar itu semua adalah mustahil. Walau apa yang dilakukan, tak mungkin dapat merubah keadaan. Perpisahan tetap akan mengiringi cinta mereka.
Saat-saat suka dan duka bersama Ryan bermain-main di kotak fikiran. Ryan dahulu berbeza dengan Ryan sekarang. Dahulu, dia seorang lelaki yang tidak pernah memikirkan masa depan, tetapi hanya memikirkan keindahan saat itu sahaja. Dia sering melepak di pusat membeli-belah di sebelah siang dan berada di pusat-pusat hiburan pada sebelah malamnya. Dia juga suka menyertai lumba haram.
Dalam diam, Lisa berjanji untuk mengubah hidup Ryan ketika pertama kali berjumpa setelah berpisah beberapa tahun. Lisa mengenali Ryan ketika berada di tingkatan tiga. Mereka berada di kelas yang sama. Lisa adalah pelajar baru dan Ryan telah banyak membantunya menyesuaikan diri di sekolah baru. Lisa kemudiannya berpindah ke sekolah berasrama penuh setahun kemudian setelah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR. Sejak bersekolah di tempat lain, dia tidak mendengar khabar lagi dari Ryan. Kawan baiknya yang bersekolah di sekolah lama telah memberitahunya yang Ryan telah berpindah ke luar negara.
Pertama kali terserempak dengan Ryan, dia hampir tidak mengenali lelaki itu. Ryanlah yang terlebih dahulu menegurnya di sebuah pasaraya. Lisa ketika itu berada di Semester 1, Kolej Aspirasi. Dan Ryan tidak belajar mahupun bekerja. Mereka bertukar nombor telefon.
Peretemuan pertama diatur, telah melahirkan bibit-bibit cinta dalam diri masing-masing. Mereka menukar cerita setelah sekian lama berpisah. Lisa dapat merumuskan punca Ryan hanyut dalam arus kehidupan. Setelah berpindah ke luar negara, Ryan terpengaruh dengan gejala negatif di sana. Dia tidak mendapat perhatian dari bapanya yang semakin sibuk kerana dinaikkan pangkat dalam syarikat. Ibu Ryan pula telah meninggal dunia di sana dalam kemalangan jalan raya. Setahun yang lalu, Ryan dan bapanya pulang ke Malaysia. Bapanya telah berkahwin dengan wanita asing. Dia telah mencurahkan kasih sayangnya kepada isterinya yang cantik. Manakala, segala kemewahan dilimpahkan kepada anaknya, Ryan. Dari saat itu Lisa semakin bersemangat untuk merubah hidup Ryan.
Lisa tidak menyangka niat baiknya tercapai dengan mudah. Ryan berubah sedikit demi sedikit. Dia mendaftar di kolej yang sama dan mengambil kursus yang sama. Mereka tinggal di asrama yang disediakan oleh pihak kolej. Setiap hari mereka ke kolej bersama-sama. Waktu terluang digunakan untuk mengulangkaji pelajaran. Akhirnya Ryan melupa terus sikapnya dahulu yang suka berpeleseran.
Lisa tidak dapat mengelak perasaan yang terbuku di dalam hati. Dia mencintai Ryan sepenuh hati. Sangkanya dia bertepuk sebelah tangan namun sebaliknya yang telah berlaku. Ryan telah meluahkan perasaannya pada Lisa. Cuma Lisa yang masih belum mengakui perasaannya dengan lidah. Dia mahu menantikan saat yang sesuai untuk meluahkannya.
Panas disangka hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Lisa menganggap perkara biasa apabila dia sering merasa sakit kepala. Disangkanya dia mengidap migrain. Hinggalah suatu hari apabila dia jatuh pengsan ketika sedang melayari internet di rumahnya. Dia telah dibawa ke hospital. Sehari kemudian dia mendapat keputusan yang mengejutkan. Sakit kepalanya bukan penyakit biasa tetapi disebabkan oleh sesuatu. Tumor dikesan di kepalanya. Jika dia dibedah, 30% sahaja peluangnya untuk hidup. Terlalu bahaya untuk dibuang tumor yang berhampiran saraf penting di otaknya. Jika tidak dibedah, jangka hayatnya cuma tiga bulan sahaja.
Pelbagai perasaan menghantui dirinya. Perhubungannya dengan Ryan tidak akan ke mana. Dia tidak sanggup memberitahu kepada Ryan keadaan dirinya yang sedang bertarung dengan maut. Tentu Ryan tidak dapat menerimanya. Dia tidak sanggup melihat insan yang dicintainya diselubungi kedukaan. Dia tidak sanggup menghadapi saat-saat perpisahan di katil wad. Setelah difikir semasak-masaknya, Lisa membuat keputusan untuk menjauhkan diri dari Ryan. Namun Ryan dapat mengesan perubahan pada dirinya. Ryan mendesaknya untuk berterus-terang. Dan, petang tadi, di tepi pantai, Lisa menerangkan kedudukan perhubungan mereka.
Malam semakin larut. Lisa menanda di kalendar saki baki hidupnya…..dua setengah bulan lagi.

Teman-teman sekuliah heboh bercerita tentang perhubungan Ryan dan Lisa. Masing-masing mengeluarkan pendapat sebab-sebab Ryan dan Lisa memutuskan perhubungan. Ramai yang menuduh Ryan berlaku curang. Lisa tidak sanggup lagi mendengar tohmahan yang dilemparkan kepada Ryan. Dia berterus-terang bahawa dia dan Ryan tidak menjalin sebarang perhubungan istimewa, hanya sebagai kawan.
Shira dan teman-temannya adalah pelajar yang paling gembira bila mendengar berita tersebut. Ini kerana memang selama ini dia memendam perasaan pada Ryan. Shira berharap dia mampu menawan hati Ryan yang dalam kesepian.

“Lisa, aku tak percayalah dengan apa yang kau bagitahu aku tu.” Ujar Linda.
“Kenapa pula aku nak berbohong. Itulah kenyataannya.” Luah Lisa.
“Kalau kau anggap Ryan tu cuma kawan, takkanlah sampai kau sanggup mengubah hidupnya hingga Ryan menjadi orang yang berbeza, dulu dan sekarang.”
“Kenapa? Salahkah jika aku memimpinnya tanpa menyimpan apa-apa perasaan?”
“Manalah aku tahu, aku ingatkan kau ada hati pada dia, sebab tu kau sanggup menolongnya.”
“Sudahlah tu. Aku hanya mengaggapnya sebagi kawan, itu saja. Oh ye, bagaimana keadaan dia sekarang? Dah beberapa hari aku tak berjumpa dengan dia.” Luah Lisa. Kerinduannya pada Ryan semakin menyiksa jiwanya.
“Kau dah rindu pada dia ke?” Sindir Linda.
“Sebagai kawan, tak bolehkah aku bertanyakan tentang dia?”
“Aku dapat cerita dari Intan yang Ryan dah berubah sikap. Dia kembali kepada aktivitinya yang dulu.”
Lisa terdiam. Dia menghelas nafas. Dia benar-benar tidak menduga Ryan akan kembali kepada sikapnya yang dulu. Lisa mula gelisah.

Wadi memandu kereta mengelilingi kotaraya. Dia mencari teman serumahnya, Ryan yang masih belum pulang sejak semalam. Wadi bimbang jika Ryan mengambil tindakan yang bukan-bukan gara-gara putus cinta. Wadi memandu kereta menuju ke suatu tempat. Dia teringat akan Ryan yang suka pergi ke situ untuk bersendirian.
Wadi mematikan enjin kereta. Dia melangkah keluar dari keretanya.
“Ryan !” Sapa Wadi.
Ryan menoleh ke arah Wadi.
“Jangan menyeksa diri kau.” Pujuk Wadi.
“Aku tak dapat melupakanmya.”
“Lupakanlah gadis yang tak pernah mencintai kau. Buat apa kau nak mengingatinya lagi. Ramai lagi gadis yang meminati kau.” Wadi cuba menenangkan sahabatnya. Dia tidak mahu Ryan terus-terusan berduka.
Ryan tidak dapat melelapkan mata. Dia masih tidak percaya dengan apa yang telah berlaku. Selama ini hanya dia yang terhegeh-hegeh menagih cinta dari Lisa sedangkan Lisa sedikitpun tidak menaruh perasaan padanya. Dia tak dapat hidup tanpa cinta Lisa. Selama ini impiannya hanya ingin bersama Lisa selama-lamanya. Setelah Lisa pergi, terasa hidupnya tidak bererti lagi. Segala impiannya telah musnah bersama perginya cinta Lisa.
Hari-hari yang mendatang tidak dinantikannya lagi. Sepi dan sepi menguasai seluruh hidupnya. Segala yang dilakukan terasa bosan dan tidak beerti lagi. Mahu sahaja dia berhenti dari kolej tetapi telah dihalang Wadi. Dia tak sanggup lagi untuk bertentang mata dengan Lisa. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu lagi terserempak dengan gadis itu. Gadis yang telah memusnahkan segala impiannya. Gadis yang telah menghancurkan perasaannya.
Malam itu, buat pertama kalinya setelah berpisah dengan Lisa, dia menerima pelawaan Shira untuk keluar. Dia mahu mengisi kekosongan di hati.

Lisa dan Linda melangkah keluar dari apartment. Mereka berdua menuju ke medan selera berhampiran.
Linda memberi isyarat pada Lisa agar menoleh ke sebelah kirinya. Lisa perlahan-lahan menoleh ke sebelah kirinya. Nun tidak jauh di hujung sana, Ryan sedang menjamu selera bersama Shira. Lisa mengawal perasaan. Dia tidak mahu Linda membaca apa yang tertulis di hatinya saat itu.
“Dia dah dapat penggantinya.” Bisik Linda.
“Baguslah.” Jauh di sudut hatinya dia sebenarnya terkilan. Terkilan dengan perbuatan Ryan. Sekejap benar dia mendapat pasangan, bisiknya. Namun dia turut merasa gembira andai Ryan tidak lagi kecewa dngan perbuatannya. Jika Ryan gembira, dia turut akan gembira.
Nasi goreng patayya yang sepatutnya membangkitkan selera langsung tidak menarik perhatiannya. Dia yang sejak pagi tadi mengidam nasi goreng patayya telah tertutup selera dek perbuatan Ryan yang telah mengguriskan perasaannya.
“Hai!” Sapa Shira.
“Hai!” Balas Linda.
Lisa hanya memandang. Mulutnya seolah-olah terkunci bila melihat Ryan dan Shira berpegangan tangan.
“Marilah makan sekali.” Lisa ajak-ajak ayam. Dia tidak mahu Ryan dapat menduga perasaannya.
“Kami dah makan. Kami minta diri dulu.” Shira dan Ryan berlalu pergi.
Lisa mengawal perasaan. Dia tidak sanggup melihat lelaki yang dicintainya berdampingan dengan gadis lain.

“Ryan, kau nak main ke tak nak?” Soal Didi, kapten bola sepak bila mendapati Ryan tidak bermain dengan bersungguh-sungguh.
Ryan hanya membisu.
“Kau nak main ke tak nak?” Tengking Didi.
Ryan yang sudah tidak dapat menahan sabar lagi lalu menyepak bola ke luar padang.
“Kau ni, memang tak guna! Sebab tu Lisa meninggalkan kau.” Didi sengaja mengapi-apikan kemarahan Ryan.
Ryan tidak mampu bersabar lagi. Dia melepaskan tumbukan ke muka Didi. Didi membalas tumbukannya. Pemain-pemain bola sepak yang sejak tadi hanya membisu segera meleraikan pergaduhan di antara Ryan dan Didi.
Encik Razak, jurulatih bola sepak telah memanggil Ryan dan Didi ke biliknya. Mereka disoal siasat dan dikenakan hukuman yang setimpal. Ketika keluar dari bilik Encik Razak, Ryan telah terserempak dengan Lisa. Dia langsung tidak mengendahkan Lisa.
Lisa teringin untuk berbicara dengan Ryan. Tetapi mulutnya terasa seolah terkunci. Sikap Ryan yang dingin menyebabkan Lisa tidak berani untuk menegurnya.

Malam itu keluarga Encik Farid mengadakan mesyuarat. Mereka membincangkan tentang rawatan yang harus diterima oleh Lisa bagi mengubati penyakitnya. Datuk dan nenek Lisa yang menetap di bandar New York turut berada di situ, melawat cucu kesayangan mereka. Mereka mencadangkan agar Lisa mendapat rawatan di New York.
“Lisa bersetuju atau tidak menerima rawatan di New York?” Soal ibu Lisa, Puan Aishah Jane.
Lisa keberatan untuk ke New York. Dia tidak sanggup berpisah dengan orang-orang di sekelilingnya.
“Lisa akan mendapat rawatan yang lebih baik di sana. Ibu akan menemani Lisa di sana selain datuk dan nenek.” Pujuk Encik Farid.
Lisa akhirnya bersetuju.
Sebelum tidur Lisa berfikir semasak-masaknya. Lisa mahu menerangkan kedudukan yang sebenar kepada Ryan. Peluang untuk dia selamat daripada pembedahan tersebut ialah 50-50. Jadi dia mahu Ryan memberi semangat kepadanya untuk melawan penyakit tersebut. Impiannya untuk bersama Ryan mungkin akan menjadi kenyataan sekiranya pembedahan tersebut berjaya.

Wadi tumpang gembira kerana Ryan sudah dapat menerima kenyataan. Lisa tidak lagi menjadi penyebab kesedihan Ryan. Namun begitu Wadi bertambah risau kerana Ryan kini semakin rapat dengan Shira.
“Kau sukakan Shira ke?” Soal Wadi yang ingin mencungkil rahsia temannya.
“Teman wanita aku, tentulah aku suka” Balas Ryan.
“Apa?” Wadi terkejut mendengar pengakuan Ryan. “Kau dah lupa ke sikap Shira yang sebenar?”
“Aku tak tahu. Yang aku tahu dialah gadis yang paling cantik di kolej ni. Betul tak?”
“Kau dah lupa pada Lisa?” Wadi menduga.
“Tolonglah Wadi, kau jangan sebut nama dia lagi di depan aku !” Ryan meninggikan suara. Dia menyampah bila mendengar nama gadias yang telah memusnahkan impiannya itu.
“Okay, maafkan aku.”
“Oh ya Wadi, kau ikut tak perkhemahan minggu depan?” Soal Ryan.
“Belum tahu lagi kerana mereka yang pergi mempunyai pasangan masing-masing. Kau pergi tak?”
“Tentulah. Aku akan pergi bersama Shira. Kalau kau nak ikut aku boleh kenalkan Aida, kawan Shira kepada kau.”
“Yes!” Wadi menjerit kegembiraan.

Lisa dan Linda berjalan menuju ke arah bas yang sedang menanti.
“Cepat sikit cek kak oi!” Laung Zarul yang menganjurkan perkhemahan tersebut. Dia sedang berdiri di kaki tangga bas.
“Maafkan kami.” Linda tersengih-sengih meminta maaf. Zarul memberi laluan kepada mereka berdua. Lisa dan Linda melangkah ke atas bas. Mereka memilih tempat duduk yang telah dikhaskan untuk mereka berdua. Lisa sempat memandang ke arah Ryan dan Shira berserta rakan-rakan mereka di tempat duduk belakang. Ryan dan Shira rancak berbual.
Lisa menyertai perkhemahan tersebut semata-mata kerana Ryan. Dia mahu menerangkan kedudukan sebenar kepada Ryan. Sudah hampir seminggu dia cuba untuk berbicara dengan Ryan. Tetapi Ryan langsung tidak memberi peluang kepadanya. Lisa berharap agar perkhemahan ini dapat membuka peluang kepadanya untuk berbicara dengan Ryan.
Kawasan air terjun menjadi tapak perkhemahan para pelajar Kolej Aspirasi. Pelajar lelaki dan perempuan berganding bahu untuk menyiapkan khemah masing-masing. Mereka turut dibahagikan kepada empat kumpulan. Lisa tentunya berada sekumpulan dengan Linda.
Malam itu adalah malam terakhir mereka berkhemah. Lisa masih mencari peluang untuk berbicara dengan Ryan dan dia berharap malam ini dia dapat memberi tahu kedudukan yang sebenar kepada Ryan.
Ryan, Wadi, Lisa dan Linda ditugaskan untuk berjaga pada waktu yang sama iaitu dari jam 2.00 hingga 4.00 pagi. Tepat jam dua pagi. Lisa dikejutkan oleh Julia yang ditugaskan berjaga sebelumnya. Lisa kemudiannya mengejutkan Linda. Mereka membawa lampu suluh menuju ke sungai yang tidak jauh dari situ. Setelah mencuci muka, mereka bergerak ke tapak perkhemahan.
Lisa menghampiri Ryan dan Wadi yang sedang menghirup secawan kopi.
“Boleh aku bercakap dengan kau sebentar Ryan.” Lisa memulakan bicara. Dia berdebar menanti reaksi Ryan.
Ryan tidak mengendahkan kehadiran Lisa di situ. Dia meneruskan perbualannya dengan Wadi. Mereka rancak berbual tentang keputusan permainan di antara Manchester United dan Arsenal seolah-olah tiada insan lain lagi di situ kecuali merka berdua.
“Ryan aku ada hal penting nak beri tahu kau.” Ujar Lisa yang masih mengharap agar Ryan sudi berbicara dengannya.
“Adakah kita saling mengenali?” Sindir Ryan.
Lisa terpinga-pinga. Wadi pula tersengih-sengih.
“Hai Ryan, apa dia buat kat sini?” Soal Shira yang tercegat di belakang Lisa.
“Entah aku tak tahu. Aku tak kenal pun siapa dia. Entah- entah jembalang dari hutan yang tersesat di sini.”
Shira dan Wadi tergelak terbahak-bahak. Lisa mengawal perasaan yang sedang menggelegak di hati. Dia tidak menyangka Ryan akan mempermainkan perasaannya sebegitu pedih. Hatinya terluka dipermainkan mereka. Dia segera beredar dari situ kerana tidak ingin mendengar penghinaan dari mereka lagi. Dia menuju ke arah Linda yang sedang menggoreng sosej.
“Jangan pedulikan mereka.” Ujar Linda.
Lisa menggetap bibir. Geram! Dia sedaya upaya mengawal air mata yang bertakung di kelopak mata. Dia dapat merasakan yang Ryan memang membencinya. Namun, dia masih mengharap agar Ryan memberi peluang kepadanya untuk menerangkan kedudukan sebenar. Jika tidak, dia akan menyesal. Sampai hati Ryan tuduh aku jembalang hutan… Lisa merintih di dalam kegelapan malam.
Ryan rasa berdosa. Tak sepatutnya dia menghina Lisa sehingga menggelarnya ke tahap jembalang hutan. Hatinya sedikitpun tidak berniat untuk menghina Lisa, namun egonya sebagai seorang lelaki menahannya dari berbaik semula dengan Lisa. Bila mengingatkan yang Lisa telah mempermainkan perasaannya, dia mula terasa kebencian yang meluap-luap pada Lisa.
Lisa sedar inilah kali terakhir dia akan berjumpa dengan Ryan. Selepas perkhemahan, dia tidak akan ke kolej lagi. Dia perlu menguruskan pasport dan visa sebelum berangkat ke New York minggu hadapan. Namun begitu, dia tetap akan mencari peluang untuk memberitahu Ryan tentang keadaan dirinya. Dia tidak mahu Ryan terus-terusan membencinya. Sekiranya Ryan tidak ingin kembali kepadanya lagi, dia pasrah.

Lisa mengemaskan barang-barangnya di asrama. Linda membantunya.
“Bila abah kau datang jemput?” Soal Linda.
“Lepas habis kerja di pejabatnya. Mungkin jam 6.00 petang.”
“Tinggal dua jam lagi. Semua barang dah siap dikemas. Kau ada nak buat apa-apa lagi?”
“Aku nak jumpa Ryan.” Balas Lisa.
“Ish, kau ni! Kan dia tak sudi jumpa kau lagi.”
“Aku mesti bercakap dengannya.”
“Dulu, kau yang tinggalkan dia. Dan sekarang, kau nak kembali padanya semula. Aku tak fahamlah sikap kau ni.”
“Nanti kau tahulah sebabnya.”
“Sampai bila? Kau berhenti dari kolejpun aku masih tak tahu sebabnya. Kenapa kau nak berahsia sangat?”
“Linda, nanti kau akan tahu segalanya. Kau sabarlah. Dan sekarang, aku nak pergi jumpa Ryan. Minta-minta dia ada di asrama.”
Lisa melangkah menuju ke kediaman pelajar lelaki. Beberapa orang pelajar lelaki sedang bermain sepak takraw di hadapan blok kediaman. Lisa tercari-cari Ryan.
“Kau cari Ryan ke?” Soal Wadi.
“Emm! Dia ada tak?”
“Dia keluar.”
“Bila dia balik?” Soal Lisa yang mengharapkan agar Ryan akan balik segera kerana dia sudah tidak punya waktu.
“Tak tahulah. Mungkin lambat sebab dia keluar dengan Shira.”
Lisa terdiam. Nampaknya perhubungan mereka semakin intim, bisiknya.
“Kenapa?” Soal Wadi.
Lisa menggeleng. Dia segera beredar dari situ. Harapannya untuk memberitahu Ryan perkara sebenar kian tipis. Jika Ryan sudah tahu perkara sebenarpun, mungkin ianya sudah terlewat untuk menyelamatkan perhubungan mereka. Ryan kini sudah menemui penggantinya, Shira. Lisa sedar, dari dulu lagi Shira cuba memikat Ryan. Dan kini, bila Ryan sudah berada dalam genggamannya, tentu sukar untuk dia melepaskannya.

Lisa merasa gembira dengan kunjungan sepupunya dari New York. Joshua datang untuk membawanya ke New York. Mereka akan berngkat ke New York tiga hari lagi.
Keesokan harinya, Lisa ke bandaraya untuk membeli sedikit barang keperluan dengan ditemani Joshua.
“Do you like this dress?” Soal Joshua.
Lisa mengangguk. “But I don’t like its colour.”
“What colour do you like?”
“Light blue.”
“Let me find it at another side.” Joshua segera menuju ke bahagian pakaian.
Lisa pula leka memilih topi dan skarf. Sedikit hari lagi dia tentu memerlukan benda-benda tersebut. Tiba-tiba dia terdengar suara seseorang di belakangnya. Lisa segera menoleh ke arah belakang. Ryan dan Shira sedang memilih topi.
Shira menghampiri Lisa.
“Pilih topi ke?” Shira merampas topi yang berada dalam pegangan Lisa.
Lisa membisu. Dia mengawal perasaan.
“Saya boleh tolong pilihkan topi sekiranya awak mahu hadiahkan pada teman lelaki awak.” Ryan berkata penuh sindiran. Dia menduga, Lisa tidak sudi bersamanya kerana Lisa sudah bertemu dengan lelaki yang jauh lebih baik darinya. Walaupun dia masih belum ada bukti, namun dia cukup yakin apabila melihat Lisa memilih topi. Setahunya, Lisa tidak gemar memakai topi.
“What happen, Lisa?” Soal Joshua yang menghampiri Lisa.
“I can’t wait here anymore.” Ujar Lisa.
“Let’s go now.” Joshua menarik tangan Lisa. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena di situ.
Ryan terpaku. Tersentuh hatinya bila melihat Lisa bersama lelaki lain. Dia tidak menyangka akan melihat dengan mata kepala sendiri teman lelaki Lisa yang baru. Dia cuba membandingkan dirinya dengan teman lelaki Lisa. Ternyata dia banyak kekurangannya.
“Is that guy, Ryan?” Soal Joshua dalam perjalanan pulang.
Lisa mengangguk.
“What’s wrong? He is your boyfriend, right? But why he with another girl?”
“Please…..don’t talk about him anymore.”
Joshua ingin mengetahu apa yang sedang berlaku sebenarnya. Setahunya, perhubungan Lisa dan Ryan sangat kukuh. Lisa sering menghantar email beserta gambar menceritakan kemesraannya bersama Ryan. Dia ingin tahu apa yang telah terjadi. Namun dia menghormati permintaan Lisa yang tidak mahu mereka membicarakan perkara tersebut lagi.
Lisa mengeluarkan pen dan kertas. Dia menulis surat kepada Ryan bagi menerangkan perkara sebenar. Lisa tidak mahu Ryan berpandangan serong terhadapnya. Dia tidak mahu Ryan terus diselubungi misteri.
Lisa terbayangkan wajah Ryan ketika melihat Joshua menghampirinya. Lisa dapat membaca perasaan Ryan ketika itu. Dia tidak mahu Ryan menganggapnya yang bukan-bukan. Tambahan lagi, Shira ada bersamanya. Pasti Shira akan terus memburukkan namanya.

“Nah, pos laju untuk kau.” Wadi menghulurkan sekeping surat kepada Ryan.
Ryan mencapai surat dari Wadi. Dia segera membaca nema pengirimnya. Bila melihat nama Lisa tercatat di situ, dia segera melempar surat tersebut ke atas meja.
“Siapa?’ Soal Wadi.
Ryan hanya membisu. Dia terus membaca majalah Bola Sepak yang baru dibelinya.
Wadi mencapai surat tersebut lalu membaca nama pengirimnya. “Oh, patutlah. Kau tak nak baca isi di dalamnyakah?” Soal Wadi.
“Tak de masa.” Balas Ryan.
“Baca majalah ada masa pula?” Sindir Wadi. “Bacalah surat tu. Mungkin dia nak bagi tahu sesuatu.”
“Aku tahu, dia nak bagi tahu aku tentang teman lelaki barunya.”
“Kau macam cemburu aje.” Usik Wadi. “Oh, ye! Linda bagitahu aku semalam yang Lisa dah berhenti dari kolej.”
“Apa?”
“Tentu ada sebabnya kan. Mungkin dia ceritakan dalam surat tersebut.”
Perlahan-lahan Ryan membuka sampul surat. Patutlah dia tidak melihat kelibat Lisa di kolej lagi. Dia tercari-cari juga ke mana menghilangnya Lisa namun dia segan untuk bertanya kepada Linda, teman baik Lisa. Walaupun di mulutnya, dia membenci Lisa, namun jauh di sudut hati, hanya gadis itu sahaja yang bertakhta di hatinya. Dia sebenarnya masih menyesal kerana menggelarkan Lisa jembalang hutan.Dia ingin meminta maaf darpada Lisa, namun keegoannya mengatasi segalanya.
Ryan membuka lipatan surat biru.

Ryan,
Untuk pengetahuan kau, sebulan yang lalu aku telah mendapat pengesahan yang aku pengidap kanser. Tumor telah merebak di bahagian otak. Memikirkan keadaan aku yang bakal keguguran rambut, lemah dan tidak berdaya, aku lalu mengambil keputusan untuk berpisah dengan kau. Aku tidak sanggup kau melihat aku dalam keadaan yang aku sendiri benci. Maafkan aku kerana membohongimu perkara yang sebenar.
Mungkin kau tidak tahu yang aku memiliki sisa-sisa hidup cuma tiga bulan. Keluargaku telah membuat keputusan untuk menghantarku ke New York bagi mendapat rawatan yang lebih baik. Pembedahan yang akan dilakukan memberi peluang 50-50 untuk aku terus hidup. Dan aku berharap sangat agar pembedahan tersebut berjaya.
Sebenarnya, setelah mengetahui peluang hidupku adalah 50-50, sekiranya aku menjalani pembedahan di luar negara, aku bercadang untuk menerangkan kedudukan yang sebenar kepada kau. Aku inginkan kata-kata semangat dari kau bagi aku melawan penyakit. Namun setiap kali aku ingin berbicara dengan kau, kau akan mengelak dan menuduh aku yang bukan-bukan. Aku memahami keadaan kau yang masih marahkan aku.
Aku akan berlepas ke New York pada 4-10-2003, penerbangan jam 4.00 petang. Sebelum ke sana, aku berharap sangat agar dapat bertemu dengan kau. Maafkan aku di atas apa yang telah berlaku.
Aku yang masih mencintaimu,
Lisa.

Air mata bergenang di kelopak mata Ryan. Dia cuba mengawal perasaan. Surat itu masih berada dalam genggamannya. Dia amat kesal dengan segala perbuatannya yang telah menuduh Lisa yang bukan-bukan. Padahal Lisa sebenarnya sedang bertarung dengan maut. Lisa, maafkan aku!
“Kenapa?” Soal Wadi yang kebingungan melihat keadaan kawannya.
Ryan menghulurkan surat itu kepada Wadi. Wadi segera membacanya.
“Eh, hari ni kan 4-10-2003! Kenapa kau berlengah lagi.” Wadi mengejutkan sahabatnya yang masih berduka.
“Apa?”
“Cepatlah! Dah pukul 3.30 petang sekarang.”
Ryan segera mencapai kunci motosikalnya lalu bergegas menuruni anak tangga. Dalam kepala otaknya sekarang, hanya ada perasaan menyesal kerana menuduh Lisa yang bukan-bukan. Kalaulah dia menyiasat apa yang telah berlaku sebenarnya, tentu dia tidak akan menuduh Lisa sewenang-wenangnya.

Pengumuman kedengaran meminta para penumpang ke New York segera masuk ke ruang berlepas. Lisa kegelisahan. Dia tercari-cari Ryan namun kehampaan.
“Mari Lisa, kita kena masuk sekarang.” Pujuk ibu Lisa.
Lisa bersalaman dengan saudara maranya yang turut menghantar dia ke lapangan terbang.
“He’s not coming.” Bisik Joshua ke telinganya.
Mereka bertiga melangkah masuk ke ruang berlepas.

Ryan meluru masuk ke ruang menunggu. Dan ketika itulah dia terlihat Lisa ditemani ibunya dan Joshua berjalan menuju ke ruang berlepas. Dia cuba mengejarnya namun gagal. Ryan benar-benar kecewa. Dia tidak sempat untuk memberi kata-kata perangsang buat Lisa.
Ryan masih termangu di lapangan terbang. Jam sudah melewati 6.00 petang. Dia masih berharap agar Lisa berpatah balik untuk bertemu dengannya. Ryan menggetap bibir. Dia mengawal perasaan. Air matanya gugur kembali. Dia tidak mengendahkan mereka di sekelilingnya. Jauh di sudut hati, dia berdoa agar Lisa selamat dalam pembedahan tersebut. Dia akan menanti kepulangan Lisa.

Pendirianku

Sesekali teringat juga kisah suka dan duka bersama Muhammad Raees Hady atau lebih senang ku panggil Ady. Perkenalan terjadi secara kebetulan. Hari itu aku singgah di Kedai Buku Malini untuk membeli alat tulis. Ady ada di situ, sedang membelek majalah. Sewaktu membayar di kaunter, aku dapat rasakan yang Ady sedang merenungku. Lama. Tergesa-gesa aku keluar dari kedai buku itu. Takut pun ada, menyampah pun ada. Lelaki mata keranjang! Gerutuku dalam hati.
Ady mengekoriku! Kecut perutku. Aku percepatkan ayunan langkah.
“Saudari, tunggu!” Terdengar jeritan suara Ady buat pertama kali.
Aku terus berhenti melangkah lalu menoleh ke arah Ady. Mata kita bertatapan. Kau ukir senyuman. Aduh, aku terus terpesona!
“Ini dompet saudari.’
Ya Tuhan, aku tertinggal dompet di kedai buku tadi. Syukurlah kerana Ady sudi memulangkan dompetku. Kalau orang lain yang jumpa, entahlah… Nasib baik Ady tidak mengambil kesempatan di atas kelalaianku.
“Terima kasih.”
“Itulah, lain kali jangan tergesa-gesa!” Sindir Ady.
“Macam manalah saya tak tergesa-gesa, awak merenung saya macam nak terkam aje. Takut saya!”
“Saya ni harimau ke?” Ady tergelak.
Mulai detik itu, perkenalan di antara aku dengan Ady bermula dan terus berkembang. Ady merupakan anak seorang kontraktor terkemuka. Sebut sahaja nama bapanya, seluruh penduduk di situ akan mengenalinya. Tak sangka Encik Hisyamuddin mempunyai seorang anak lelaki yang merendah diri. Hidup Ady penuh dengan kemewahan. Aku? Aku hanyalah gadis pingitan yang serba kekurangan. Ayah hanyalah seorang petani serta mempunyai anak-anak yang ramai. Tinggal di sebuah rumah usang yang jauh terpencil dari kesibukan kota. Kata Ady, semua itu bukan penghalang untuk kami terus menjalinkan perhubungan. Justeru itu, aku tidak ragu-ragu untuk menerima cinta dari Ady.
Ketika aku masih di UPSI, Ady pula sedang melanjutkan pelajaran di UKM. Jurusan kita berlainan. Aku bakal bergelar pendidik suatu hari nanti dan Ady pula bakal jurutera. Cinta kita terus bersemi. Setiap hujung minggu, Ady akan mengunjungiku di kampusku. Indahnya dunia kurasakan saat itu. Ady seorang lelaki yang mengambil berat dan pandai mengambil hatiku.
“Mengelamun jauh nampak! Ingat buah hati di kampung ke?” Sergahan Izzah mematikan lamunanku serta-merta.
“Tak adalah! Aku cuma berangan-angan nak jadi jutawan.” Ah Ady, kenapa namamu masih melekat di hati ini?
Izzah ketawa mendengar jawapanku. Ketawalah Izzah selagi kau mampu ketawa. Izzah merupakan seorang gadis yang periang. Tika aku pertama kali sampai ke daerah ini, kaulah orang pertama yang mempelawa aku untuk tinggal serumah denganmu. Hatiku yang terluka ini sedikit sebanyak terhibur juga dengan telatah Izzah.
Tika kesepian bertamu di hati, ingatanku sering tertumpu pada detik-detik manis bersama Ady. Terlalu sukar untuk dikikis ingatan terhadap Ady. Saban hari aku merinduimu, Ady. Sudah setahun berlalu, namun namamu terus subur di hati.
Dan kerana Ady juga aku menderita…
“Ris, Ady hanya menyintai Ris sehingga akhir hayat. Hanya Ris sahaja yang berada di hati Ady untuk selamanya.”
Kata-kata itulah yang menjadi penawar dukaku. Kusimpan kata-kata azimat itu jauh di sanubariku. Biarpun aku tahu Ady kini milik orang…
“Awak Arisha, kan?”
“Ye saya, kenapa?”
“Saya Farzana. Saya akan ditunangkan dengan Ady bulan depan. Jangan ganggu Ady, faham! Awak memang tak layak berdampingan dengan Ady. Sedarlah sikit siapa diri awak tu!”
“A…awak akan bertunang dengan Ady? Tapi kenapa Ady tak bagitahu saya?”
“Lupakan Ady! Dia akan menjadi milik saya. Jangan ganggu dia lagi!”
Keluarga Ady tidak merestui perhubungan kami. Alasan mudah yang diberikan, aku tidak setaraf dengan mereka. Perbezaan taraf hidup memisahkan aku dan Ady. Kiranya ini menjadi penghalang, aku rela melepaskan Ady pergi. Pergilah pada Farzana yang sama taraf denganmu dan Farzana yang amat mengharapkan cintamu, Ady. Humbankan namaku dari ingatanmu. Biarkan aku sendiri menanggung derita ini.
“Ris, kenapa ni? Ady tak faham dengan sikap Ris yang tiba-tiba sahaja berubah.” Ady menggoncang tubuhku. Mulutku bagai terkunci untuk bersuara. Air mata semakin deras mengalir.
“Pandanglah Ady, Ris. Ady menyinggung perasaan Ris ke?”
“Inilah pertemuan terakhir kita.”
“Ris, kenapa Ris cakap macam ni?”
“Sudahlah. Ris dah tahu segala-galanya. Ady akan bertunang dengan gadis lain, kan? Gadis yang sama taraf dengan Ady.”
“Er…tapi….”
“Cintailah Farzana sepenuh hati, Ady.”
“Tak mungkin Ady dapat mencintai Zana sepertimana Ady mencintai Ris. Lagipun perkahwinan ini bukan atas kerelaan Ady, tapi atas desakan orang tua Ady.”
“Berjanjilah pada Ris yang Ady akan mencintai Farzana dan melayan bakal isteri Ady dengan baik.”
“Tapi Ris…”
“Berjanjilah!”
“Ris…”
“Selamat tinggal Ady! Ris akan doakan kebahagiaan Ady.”
Perpisahan tanpa kerelaan pun terjadi. Kedukaan menyelubungi hidupku. Sebak dada menahan kesedihan. Jika ini sudah suratan takdir, aku terima dengan kepasrahan. Untuk mententeramkan jiwa, aku memohon untuk ditempatkan di pantai timur. Jauh beribu batu dari keluargaku dan Ady. Sebuah daerah pedalaman yang serba kekurangan seperti diriku ini. Kehadiranku di sini disambut mesra anak-anak yang dahagakan ilmu pengetahuan. Biarlah aku berbakti untuk mereka.
Tit tit! Lamunanku terhenti bila mendengar isyarat penerimaan mesej.
Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Siapakah pengirimnya? Dalam menghadapi kekecewaan ini ada juga insan yang ingin menghulurkan salam perkenalan. Mana mungkin aku dapat menerimanya jika hati dan perasaan ini telah berkecai. Saat ini aku lebih suka bersendirian dan mengingati kenangan indah bersama Ady. Pintu hatiku sudah tertutup untuk bercinta lagi.
“Amboi, dapat mesej dari siapa?” Soal Izzah sambil senyum lebar.
“Entah…dia hanya tulis namanya, Haaziq dan bekerja di sebuah bank. Itu saja.”
“Peminat kau agaknya.”
Aku biarkan sms Haaziq. Namun keesokan harinya, dan seterusnya berlarutan sehingga seminggu, aku terus menerima sms dari Haaziq. Pagi petang siang malam dia menghantar mesej, menyatakan hasrat ingin berkawan denganku secara serius. Lalu pada hari kelapan aku membalas sms Haaziq, memohon padanya agar jangan mengganggu aku lagi dengan smsnya. Sia­-sia saja usahamu Haaziq kerana hati ini masih terluka.
Minggu kedua, minggu ketiga dan sebulan, aku tidak menerima lagi sms dari Haaziq. Hatiku lega. Haaziq memahami bahawa aku tidak suka diganggu. Tetapi….hati ini mula diragut resah yang memanjang apabila menerima sms Haaziq pagi tadi. Haaziq mahu datang ke rumah sewa. Bingung aku dibuatnya.
“Izzah, tolonglah aku. Dulu, smsnya mengganggu, sekarang orangnya pulak. Haaziq nak datang sini. Dia tak faham ke yang aku tak mahu diganggu saat ini.”
Izzah hanya tersenyum melihat aku yang resah gelisah. Geramnya aku. Izzah buat muka selamba sahaja.
“Ris, aku mohon maaf banyak-banyak. Sebenarnya aku yang perlu dipersalahkan dalam soal ni. Haaziq tu sepupu aku. Dia beria-ia sangat nak berkenalan dengan kau setelah dia lihat gambar kau dalam handset aku. Kau tak marah, kan?”
“Izzah!” Aku menggigit bibir, geram!
Terima kasih Izzah. Aku tahu, kau sekadar ingin membantu aku untuk menyembuhkan kelukaan di hati ini. Untuk bersahabat dengan Haaziq, boleh. Tapi untuk cinta….serik! Tak ingin aku kecewa buat kali kedua. Luka di hati masih berdarah dan tak mungkin akan sembuh dalam masa terdekat.
Dari cerita Izzah, aku mendapat tahu Haaziq dikecewakan oleh kekasihnya. Kekasih Haaziq sudah menjadi isteri orang. Kita senasib Haaziq. Bezanya, aku tidak dikecewakan oleh Ady. Tapi keadaan yang meragut kebahagiaan kami.
Tahukah kau Ady, aku menangis seharian di hari perkahwinanmu. Emak tidak kuasa memujuk aku lagi. Bahkan emak turut bersedih melihat keadaanku. Hanya Allah yang mengetahui segalanya. Dalam doaku, aku tidak lupa menyebut namamu, mendoakan agar kau mengecap kebahagiaan bersama Farzana. Jika kau bahagia, aku juga akan turut bahagia. Aku sedar, kau dilahirkan bukan untukku, tapi untuk Farzana.
Ady….aku sudah dapat menerima kenyataan bahawa kau kini menjadi suami Farzana, biarpun terlalu pahit untukku telan. Tiada jodoh antara kita Ady… Itulah kata-kata yang sering aku bisikkan pada diriku sendiri.
Tuhan, aku sedar ini ujian dariMu. Aku insaf kini. Sesungguhnya kekecewaan ini mengajar aku erti ketabahan. Semoga kebahagiaan menjadi milikmu, Ady. Jadilah seorang suami yang bertanggungjawab serta curahkan sepenuh kasih sayangmu pada Farzana. Aku masih mampu meneruskan hidup ini walau tanpa kau di sisi. Tuhan masih bersamaku.
Pertemuanku dengan Haaziq di rumah sewa tidak berakhir begitu saja. Sms dan panggilan telefon mengunjungiku saban hari. Haaziq banyak memberi semangat untuk aku meneruskan hidup ini. Kata Haaziq, walau apapun yang berlaku, hidup harus diteruskan juga. Dan kata Haaziq lagi, pasti ada hikmah atas apa yang telah berlaku. Kau sudah melupakan kekasih hatimu yang tidak ikhlas mencintaimu. Aku ingin menjadi sepertimu Haaziq. Mudah untuk melenyapkan kisah lalu. Namun aku tidak berhasil. Ady masih melekat di hati ini.
Empat bulan berkenal mesra, Haaziq menghantar wakil untuk merisikku. Sesuatu yang aku tidak pernah jangka akan berlaku dalam tempoh yang sesingkat ini. Emak, ayah, Mak Long dan Pak Long serta Izzah menyarankan agar aku menerima Haaziq.
“Dah seminggu tapi Risha belum beri kata putus.”
“Haaziq, kenapa cepat sangat? Kita baru berkenalan. Haaziq pun masih belum
tahu latar belakang Ris sepenuhnya. Ris dari keluarga yang serba kekurangan.”
“Semua itu tak penting bagi Haaziq. Haaziq hanya akan memandang kejujuran di hati Risha.”
“Keluarga Haaziq?” Aku tidak mahu pisang berbuah dua kali.
“Kalau keluarga Haaziq tak setuju, tak adalah Haaziq nak hantar wakil untuk merisik, kan?”
Setelah melihat kesungguhan Haaziq, aku akhirnya bersetuju. Lagipun, kata Izzah, cinta boleh hadir selepas perkahwinan. Seminggu kemudian majlis pertunangan dilangsungkan serba sederhana.
Aku dikejutkan dengan panggilan dari seseorang suatu petang. Panggilan yang membuatkan aku tidak dapat tidur malam. Panggilan yang membuatkan tugas seharianku terganggu. Ady mahu bertemu denganku. Aku mereka pelbagai alasan untuk tidak bertemu dengannya. Bukan kerana aku sudah menjadi tunangan orang, tetapi memang hati ini sudah tawar untuk bersua dengannya lagi. Apa guna bertemu dengan Ady, kerana yang pasti pertemuan tersebut akan menambahkan luka di hati.
“Antara kita dah tak ada apa-apa perhubungan lagi.” Aku terpaksa mengalah. Ady berjanji, dia tidak akan mengganggu aku lagi jika aku sudi bertemu dengannya.
“Ady selalu merindui Ris. Perkahwinan tak memberi kebahagiaan pada Ady. Zana banyak melukai hati Ady. Ady tak dapat menunaikan janji Ady pada Ris untuk mencintai Zana sepenuh hati.”
“Ady, Ris dah bertunang. Tak elok kalau orang nampak Ris berjumpa dengan suami orang. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Ady berbincanglah dengan Zana. Jangan nak libatkan Ris.”
“Ady dah merancang untuk berpisah dengan Zana.”
“Ady, janganlah bertindak terburu-buru. Fikirlah secara rasional. Masih ada waktu untuk Ady dan Zana memperbaiki kesilapan.” Aku mengatur langkah.
“Ris, jangan tinggalkan Ady!” Ady mencapai pergelangan tanganku.
“Risha!” Aku terpanar. Haaziq berdiri tidak jauh dari situ!
Aku menangis lagi. Haaziq telah memutuskan pertunangan. Haaziq memberi alasan yang aku masih belum dapat melupakan cinta pertamaku, Ady. Perkahwinan kami pasti goyah jika di hatiku hanya ada Ady. Itu kata Haaziq. Pada hakikatnya, aku sudah belajar untuk melupakan Ady. Aku yakin kehadiran Haaziq pasti dapat melenyapkan ingatan aku pada Ady sedikit demi sedikit.
Haaziq telah membuat tindakan melulu sebelum sempat aku memberi penjelasan. Sampai hatimu Haaziq….aku tersiksa untuk kali kedua.
“Ady dah bercerai dengan isterinya?” Soal Izzah.
Aku mengangguk. Bercerai atau tidak bukan urusanku lagi.
“Kau masih cintakan Ady?”
Tak ada gunanya aku mencintai lelaki yang tak pandai menghargai cintaku ini.
“Ris, aku nak minta maaf. Aku yang kenalkan Haaziq dengan kau. Aku harapkan kau dan dia akan ke jinjang pelamin. Tak sangka pulak boleh jadi macam ni.”
“Izzah, dah banyak kali kau minta maaf dari aku. Sudahlah. Segalanya dah berlalu. Aku tak mahu ingat lagi.”
Aku menerima berita yang mengejutkan suatu hari. Haaziq sudah berkahwin dengan kekasih pertamanya. Kekasih yang pernah mengecewakan perasaannya. Haaziq memutuskan pertunangan dengan memberi alasan bahawa aku masih mencintai Ady. Itu hanyalah alasannya semata-mata. Hakikatnya aku hanyalah persinggahan sementara buat Haaziq. Walau apapun yang telah kau lakukan pada aku, aku tetap akan mendoakan kebahagiaanmu bersama Farzana, gadis yang kononnya telah kau lupakan apabila mengambil tindakan berkahwin dengan lelaki lain. Ternyata kau masih gagal untuk melupakan Farzana. Buktinya, sebaik sahaja Farzana habis edah, kau terus menyambar Farzana. Ah, gadis itu sering sahaja menjadi penghalang untuk aku mengecap kebahagiaan!
Ady saban hari terus setia merayuku, cuba merebut cintaku kembali. Hati ini sudah hancur, Ady. Tak ada gunanya kau merayuku lagi. Hati ini sudah tertutup buat insan bernama lelaki.
Cuti persekolahan aku kembali ke kampung. Adik-adikku menyambut girang kepulanganku. Gembira hatiku dapat bertemu dengan adik-adikku, Arina, Aziah, Aznida dan Afiq. Namun kegembiraan bertukar menjadi sedih apabila mendapat tahu ayah mengidap kencing manis. Tambah menyedihkan apabila melihat luka di kaki ayah yang semakin teruk saban hari. Ayah terkena sabit ketika sedang menebas beberapa minggu lalu. Ayah tidak dapat melakukan kerja-kerja berat lagi.
“Durian tentu dah gugur kat dusun. Tak ada ke sesiapa tolong pungutkan buah-buah durian tu, mak?”
Emak terdiam. Soalanku tidak dijawab.
“Terbiar macam tu saja?” Bukannya sepokok dua sahaja pokok durian di kebun. Tapi berbelas-belas. Selain durian, pokok rambutan, langsat dan manggis pun ada. Biasanya, ayah akan mendapat pendapatan sampingan pada musim buah-buahan dengan menjual buah durian, langsat, rambutan dan manggis.
Emak menggeleng. “Ady, dia yang bantu menguruskan dusun.”
“Apa? Mak terima pertolongan Ady?”
“Dia yang hulurkan bantuan, bukan mak yang minta. Dia bersungguh-sungguh nakkan kau, Ris. Kenapa kau masih tak dapat menerimanya kembali? Mak dah lihat keikhlasannya pada kau.”
Ady bukan seperti Ady yang kukenal dulu. Ady sudah banyak berubah. Ady tidak lagi mengikut telunjuk orang tuanya. Ady sudah bijak membuat keputusan sendiri.
Dan aku juga bukan seperti aku yang dulu lagi. Gadis yang sering mendengar dan mengikut kata orang. Tiada pendirian! Jika ya kata mereka, aku terus bersetuju. Jika tidak kata mereka, aku terus tidak bersetuju. Itu dulu. Aku kini hanya akan membuat keputusan sendiri, mengikut gerak hati. Baik atau buruk, biar aku yang tanggung sendiri.
“Ris masih marahkan Ady, kan?”
Aku diam.
“Ris masih marah sebab Ady kahwin dengan pilihan orang tua Ady, kan?”
“Ris dah tak tahu macam mana nak fahamkan Ady. Segala yang telah berlaku Ris dah lupakan. Ris tak mahu ingat lagi. Ris harap Ady faham pendirian Ris.”
“Kalau macam tu, kenapa Ris tak mahu sambung kembali hubungan kita? Atau…Ris masih menyimpan perasaan pada Haaziq?”
“Haaziq tak ada kena-mengena dengan keputusan Ris.”
Biarlah aku hidup sendirian tanpa cinta. Aku tidak ingin dikecewakan lagi. Maafkan aku Ady, aku tidak dapat menerimamu kembali….

Tersiar dalam Majalah Dara.Com Edisi Januari 2006

MENCARI BAHAGIA

"Baru balik dari sekolah?"
Ah, kau lagi! Hari-hari kaulah orang pertama yang selalu menegurku sebaik sahaja aku melangkah turun dari bas sekolah. Kalau gadis lain, tentu mereka suka jika sering disapa lelaki. Tapi, aku tidak. Aku memang tidak gemar dengan sikap kau itu. Benci! Menyampah! Tak ada kerja lain lagi ke yang kau boleh lakukan? Cuma yang kau tahu, melepak di kedai kopi sambil ganggu gadis yang lalu-lalang. Lelaki lain yang sebaya dengan kau tentu berada di menara gading sekarang atau sudah melangkah ke alam pekerjaan. Ah, buang masa saja jika aku layan pemuda yang tak ada masa depan seperti kau!
Masuk hari ini dah cukup seminggu kau menunggu kepulanganku dari sekolah. Sebelum ini aku tak pernah lihat kau. Dan aku langsung tak kenal siapa diri kau. Sudah hampir tiga bulan aku menetap di sini. Tak pernah aku lihat kau di kedai kopi mahupun di tempat lain. Mungkinkah kau orang luar yang bertandang ke rumah saudara mara yang menetap di kampung ini? Ah tak mungkin! Berdasarkan dialek yang kau tuturkan, aku yakin benar kau penduduk jati kampung ini.
Ah, persetankan dia! Buat apa aku memeningkan kepala memikirkan lelaki seperti kau. Aku benci dengan pemuda-pemuda yang suka lepak dan ganggu pelajar-pelajar sekolah.

"Nadyne, telefon!" Laung Kak Nadya sebaik sahaja aku tiba di rumah. Lelah pun masih belum hilang.
Telefon? Siapa pulak yang hubungi aku ni? Inilah panggilan pertama yang aku terima sejak tinggal di rumah Mak Nab. Seingat aku, nombor telefon rumah Mak Nab tak pernah aku berikan kepada sesiapa pun, hatta teman sekelas sekali pun. Dulu memang aku suka berbual di telefon, berjam-jam lamanya pun tak kisah. Tapi kini tidak lagi. Telefon bimbit juga telah aku jualkan.
"Lelaki." Bisik Kak Nadya sambil menghulurkan gagang telefon. Kak Nadya tersengih-sengih.
Lelaki? Aku bertambah hairan. Lelaki mana pulak yang ingin bercakap denganku?
Irshad? Aku meletakkan gagang selesai sahaja berbual pendek dengan lelaki yang tidak dikenali itu. Siapakah Irshad? Dari mana dia tahu aku tinggal di rumah Mak Nab? Telah aku ajukan soalan itu kepada Irshad, namun jawapan Irshad memeningkan kepalaku. Katanya, kalau dia dah suka seseorang, dia akan berusaha untuk mendapatkan maklumat gadis itu. Aku minta dia perkenalkan dirinya secara empat mata denganku, tapi dia enggan. Katanya, masih terlalu awal untuk mengatur temu janji. Mengada-ngada! Bukannya aku mahu buat temu janji dengannya, aku sekadar ingin melihatnya, sama ada Irshad itu memang wujud atau tidak.
Hairan! Entah-entah rakan sekelasku menyamar sebagai Irshad, sengaja untuk mengenakan aku. Ah, tak mungkin! Aku cam suara Daud, Maliq dan rakan-rakan sekelasku yang lain. Siapakah gerangan lelaki yang bernama Irshad? Mustahil Afzal menyamar sebagai Irshad. Telah aku padamkan namanya dalam kamus hidupku. Afzal lelaki tak guna yang terus menjauhkan diri apabila aku ditimpa kesusahan. Afzal, lelaki yang tak setia pada cinta. Afzal. lelaki yang pandai suka berjanji itu ini tapi takut untuk mengotakannya.
Aku tak terdaya lagi untuk memikirkan siapa Irshad. Dia ingin berkenalan lebih rapat denganku. Aku berterus-terang kepadanya yang aku sudah punya ramai kawan lelaki. Cukuplah kawan-kawan lelaki di sekolah, aku tidak ingin menambah kenalan lagi. Bukannya aku gadis yang sombong, tapi…kenangan lalu menyiksa jiwa.

Sudah masuk minggu ketiga, kau masih setia menanti kepulanganku. Buat apa kau sia-siakan masa emasmu dengan menantiku. Apa yang ada pada aku ini sehingga menarik perhatianmu? Tak bosankah kau dengan aku yang tak pernah melayan kehendakmu. Kau ajak aku berbual, aku tolak. Kau pelawa aku minum, pun aku tolak. Berhentilah menggangguku.
Aku tidak akan sekali-kali melayan lelaki sepertimu. Aku bukanlah gadis murahan yang sekali ditegur terus boleh diusung ke sana dan ke mari. Jangan kau harap wajahmu yang kacak akan dapat mencairkan kekerasan hatiku.

"Masam aje muka, kena marah dengan cikgu ke?"
Terdengar jeritan suaramu dari kedai kopi. Geramnya aku! Muka aku masam ke, manis ke, buat apa kau peduli? Biarkan aku begini. Ingin sekali aku menjerit dan menyatakan yang aku bencikan kau, bencikan usikan kau. Tapi fikiran aku masih waras. Hatiku masih mampu menahan sabar. Dan aku tidak mahu memalukan kau di hadapan teman-teman kau. Jatuh pula saham kau nanti. Lebih baik aku mendiamkan diri. Pelajar-pelajar sekolah yang menaiki bas yang sama pasti tersenyum-senyum setiap kali terdengar jeritan suaramu dari kedai kopi menggangguku. Pasti mereka cukup arif menilai sikap kau. Lelaki yang tak tahu malu. Tak pernah aku layan, tapi kau masih tak jemu-jemu menggangguku. Memang kau seorang lelaki yang penyabar…

Aku suka tinggal di kampung yang terletak di pedalaman ini. Segala-galanya yang ada di kampung memikat hatiku, kecuali satu. Kau! Ah, kenapa mesti ada kau di sini? Jika kau tiada, tentu bertambah tenteram kehidupanku di sini.
Kampung ini telah banyak mengajar aku erti ketabahan hidup. Mama juga tidak lagi bersedih sejak tinggal di sini. Aku sedar mama menderita akibat perbuatan papa. Badan mama kurus dan saban hari mama menangis. Syukurlah kerana di kampung ini mama telah banyak berubah. Aku dan Kak Nadya gembira melihat perubahan mama. Di kampung ini juga aku sudah dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Tidak seperti di bandar dulu. Jiwaku tertekan dan aku tewas untuk menghadapi dugaan hidup. Masalah mama dan papa mengganggu pelajaranku. Hinggakan semangat untuk belajar terus pudar.
Suasana di kampung ini berbeza sekali dengan di bandar. Segala-galanya mendamaikan. Kampung terpencil ini terlalu indah buatku. Kicauan burung dan lambaian pohon kelapa memikat hatiku. Aku juga dapat merasa betapa dinginnya mandi air bukit. Aku bahagia di sini. Di bandar dulu, aku hidup dalam kemewahan. Namun kemewahan tersebut tidak dapat memberi ketenangan padaku. Bahkan kemewahan itulah yang meragut kebahagiaan keluargaku.
Pip! Pip!
Hon motosikal yang lalu di hadapan rumah Mak Nab mengejutkan lamunanku. Aku cam siapa penunggang motosikal tersebut. Kau! Sempat lagi kau menghadiahkan senyuman untuk aku. Terus aku mencebik! Tak sampai lima minit, kau lalu lagi di hadapan rumah Mak Nab dengan motor kapcai. Aku terus melangkah ke dalam rumah, malas untuk melayan karenahmu yang seperti budak-budak.

Hari ini aku terima panggilan dari Irshad lagi. Selang tiga hari aku akan terima panggilan darinya. Irshad, siapa dirimu yang sebenar? Kau membuatkan aku sering tertanya-tanya. Kau masih menyatakan keinginanmu untuk berkenalan dengan aku. Dan seperti biasa, aku tidak pernah melayan keinginanmu itu. Selagi kau tidak berani untuk berhadapan dan bertentang mata denganku, aku tidak akan menerima kehadiranmu dalam hidupku. Apa yang membuatkan kau begitu beria-ia untuk menjalin persahabatan denganku? Tiada apa-apa keistimewaan pada diri ini. Aku gadis yang banyak menanggung derita...

"Sekarang ni Nadyne dah ada peminat, mama. Selalu terima panggilan dari lelaki."
"Itu bukan peminat Nadynelah, kak."
"Tak nak mengaku pulak.” Kak Nadya mencubit pipiku.
"Nadyne, mama harap Nadyne tumpukan perhatian pada pelajaran dulu. Ketepikan dulu soal cinta." Sampuk mama.
"Mama, Nadyne tak bercinta dengan lelaki tu. Kenal dia pun tak, mama." Aku membela diri.
"Setakat nak berkawan, mama tak halang. Tapi pandai-pandailah jaga diri."
Mama, kau terlalu mengambil berat tentang diriku. Aku berjanji akan membahagiakan hidupmu, mama. Aku berjanji akan memenuhi segala impianmu…
Aku tahu mengapa mama meminta aku agar berhati-hati dengan insan bernama lelaki. Mama takut aku kecundang di tangan lelaki. Pengalaman hidup masa lalu telah banyak mengajar mama. Mama tidak mahu aku dan Kak Nadya menerima nasib yang serupa dengannya. Mama telah banyak berkorban untuk aku, Kak Nadya dan papa.
Papa? Ah, papa seorang lelaki yang tidak berperikemanusiaan! Papa tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin dalam keluarga. Papa hanya tahu melepaskan kemarahannya pada mama. Aku dan Kaka Nadya turut menjadi mangsa kemarahan papa. Sakitnya tamparan dan tali pinggang papa menghentam tubuhku, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Hidupku diselubungi ketakutan yang memanjang. Terasa saat itu tiada gunanya lagi aku meneruskan hidup sehingga aku pernah cuba untuk membunuh diri...
Mama banyak berkorban untuk papa. Malangnya papa tidak pernah menghargai pengorbanan mama. Mama sanggup membuang orang tua semata-mata kerana cintakan papa. Kedegilan mama kerana tidak mahu dijodohkan dengan pemuda pilihan orang tuanya menyebabkan mama disingkirkan.
Sehinggalah kelahiran Kak Nadya, datuk dan nenek masih tidak dapat menerima perkahwinan mama dengan papa. Akhirnya mama mengerti dia tidak diperlukan lagi oleh keluarganya. Mama tidak pernah pulang lagi untuk menemui orang tuanya. Aku dan Kaka Nadya tidak pernah melihat datuk dan nenek sebelah mama mahupun papa. Orang tua papa telah lama meninggal dunia ketika papa masih bersekolah. Papa dibesarkan oleh bapa saudaranya.
Masih kuingat lagi kemesraan papa tika aku dan Kak Nadya masih di bangku sekolah rendah. Ketika itu kehidupan kami sekeluarga sedehana sahaja. Papa masih pekerja bawahan. Papa telah memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang pada kami. Papa tidak pernah memarahi kami, jauh sekali untuk memukul. Apa yang kami hajati akan cuba dipenuhi. Ah, betapa aku bahagia saat itu, mempunyai seorang ayah yang penyayang. Tuhanku, kenapa manusia cepat benar berubah?

"Awak seorang gadis yang sangat cantik. Tapi kalau awak bertudung, lagi cantik!" Kau menghampiriku. Satu tindakan yang agak berani. Selama ini kau hanya berani menyapaku dari jauh sahaja.
"Tolong jangan ganggu saya!" Aku membuka mulut buat pertama kali. Sindiran lelaki itu terlalu tajam.
"Saya bukannya mengganggu, cuma memberi teguran secara ikhlas. Awak tentu tambah cantik jika bertudung. Satu lagi teguran ikhlas dari saya, kalau awak nak tinggal di kampung, kenalah ikut cara kampung. Tak manis kalau anak dara macam awak ni berseluar pendek dan berbaju tanpa lengan."
"Awak siapa pandai-pandai tegur saya? Macamlah awak tu baik sangat! Satu-satunya kerja yang awak tahu buat hanyalah melepak di kedai kopi sambil ganggu gadis yang lalu-lalang!” Aku melepaskan kemarahan. Tentu kejadian tempoh hari menyebabkan dia berani berkata begitu. Ketika dia melalui rumah Mak Nab, aku memang berpakaian ringkas. Cuaca yang panas menyebabkan aku berpakaian begitu.
"Sebagai saudara sesama Islam haruslah kita saling tegur-menegur jika ada sesuatu yang tak kena. Tak semestinya saya ni abang awak atau ayah awak atau… suami awak baru saya boleh nasihat. Tak gitu?"
"Huh! Nasihat diri awak tu dulu sebelum nak menasihati saya!" Aku terus mempercepatkan ayunan langkah. Darahku membuak-buak. Berani betul kau menegur caraku. Kita bukannya sahabat atau saudara yang membolehkan kau menegur apa yang tak kena denganku. Aku akui, memang aku gadis yang sensitif.
Aku terus ke dalam bilik dan menghempas diri ke atas katil. Aku bengang dengan sikap kau yang kurang ajar. Kenapa kau suka ganggu hidup aku? Semakin lama, semakin kau menjadi-jadi. Mentang-mentanglah aku tak pernah tinggikan suara pada kau setiap kali kau menggangguku. Ah, kenapa masalah tak habis-habis menyerang hidupku?
Deringan telefon di luar bilik kedengaran. Aku segera menghampiri.
"Boleh saya cakap dengan Nadyne?"
"Orang lelaki semuanya sama! Nak menasihati orang lain tapi diri sendiri jauh lebih teruk!" Aku terus menghempas gagang.
Aduh, kasihan Irshad! Dia terpaksa menjadi mangsa kemarahanku. Aku terlalu mengikut perasaan.Telefon berdering lagi.
"Maafkan saya."
"Tak semua lelaki sama. Saya boleh buktikan. Awak ada masalah ke? Saya sedia mendengar luahan hati awak."
"Saya tak kenal awak."
"Awak ada masalah ke?"
Dugaan awak memang tepat, Irshad. Aku ada masalah dengan insan bernama lelaki.
"Awak jangan hubungi saya lagi."
"Kenapa..."
Aku terus matikan panggilan sebelum Irshad sempat menghabiskan kata-katanya. Insan bernama lelaki hanya menyusahkan hidup aku, menyakitkan hati aku!

Kebahagiaan hidup bertahan seketika cuma. Kehadiran Munirah, setiausaha papa yang jelita sejak tiga tahun lalu perlahan-lahan mengubah sikap papa. Papa lupa diri, sekaligus melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa dan suami.
Pertemuan mama dengan Munirah menimbulkan kemarahan papa. Mama merayu Munirah agar meninggalkan papa. Munirah tidak mengendahkan rayuan mama. Tanpa pengetahuan mama, aku pula yang pergi menemui Munirah. Aku lepaskan geram padanya. Akibatnya, aku dipukul papa setengah mati. Munirah mengambil tindakan drastik dengan mengugut untuk meninggalkan papa jika papa tidak menceraikan mama. Akhirnya papa menurut kehendak Munirah. Alasan papa menceraikan mama ialah kerana mama tidak pandai melayan kehendak suami dan gagal menjadi seorang ibu yang baik. Papa tuduh mama itu ini. Semua yang dilakukan mama tak pernah disenangi papa. Ah, bijaknya papa berkata-kata. Kesalahan sendiri tak pernah diakui. Mama telah dihalau papa tanpa belas kasihan.
Papa menghalang aku dan Kak Nadya mengikut mama namun halangan papa tidak kami endahkan. Mujurlah ada Mak Nab, pembantu rumah yang baik hati. Mak Nab mengajak kami tinggal bersamanya di kampung.

Mak Nab mengajak aku menghadiri majlis kenduri kahwin. Mama tak dapat ikut kerana kurang sihat. Kak Nadya pula ada hal. Aku mengenakan sepasang baju kurung corak batik. Rambut kutocang satu.
Terpegun aku melihat betapa ramai orang yang menghadiri majlis kenduri. Tampak betul-betul meriah. Tak pernah aku melihat suasana sebegini sewaktu menetap di bandar. Dari kanak-kanak bertatih sehinggalah orang tua, semuanya ada. Namun khemah yang didirikan terlalu kecil berbanding jumlah tetamu yang datang. Sesetengahnya terpaksa berdiri menunggu giliran untuk mendapatkan tempat duduk, termasuklah aku dan Mak Nab.
“Baru sampai Mak Nab?”
Terdengar suara seseorang menegur Mak Nab. Aku terus toleh ke kiri. Kau! Tersenyum-senyum macam kerang busuk. Aku terus alih pandangan.
“Mari Mak Nab. Di hujung sana ada tempat kosong.”
Wah, baiknya kau! Ikhlas atau nak menunjuk-nunjuk? Aku kawal diri yang tersangat meluat dengan sikap kau. Tentunya ada niat yang tersembunyi. Sindiran kau tempoh hari masih mengganggu emosiku.
Kau layan aku dan Mak Nab baik sekali. Kau yang hidangkan makanan. Kau yang berikan bunga telur. Kau yang carikan tisu untuk aku. Tersentuh juga hati kecilku dengan layanan istimewa darimu.
Aku pandang sekeliling. Barulah aku sedari, hanya aku seorang sahaja gadis remaja yang tidak bertudung. Dan mungkin kerana itu juga, aku menjadi perhatian sejenak.

"Untuk awak."
Aku terpinga-pinga. Bungkusan di tangan kau masih belum aku sambut. Untuk apa tiba-tiba kau menghadiahkan aku sesuatu? Aku bukannya sahabatmu, jauh sekali kekasihmu.
"Tak sudi?"
Hairan! Setahu aku, kita saling tidak mengenali, malah pergaduhan hampir berlaku di antara aku dan kau tempoh hari. Alih-alih hari ini kau mahu menghadiahkan aku sesuatu. Pelik! Mimpi apa kau malam semalam?
"Awak masih marah dengan teguran saya tempoh hari? Saya sekadar beri nasihat, terpulang pada awak nak menerimanya atau tidak. Saya tak memaksa. Saya buat begitu sebab saya tak suka dengar orang cakap tentang awak di belakang. Sebab tu saya sanggup bersemuka dan berterus-terang dengan awak. Saya bagitahu mereka yang awak pasti akan berubah, cuma awak memerlukan sedikit masa. Lagipun….saya tak sampai hati dengar kutukan mereka pada awak. Panas telinga ni!"
Aku terkedu mendengar bicaramu. Kau telah membelaku di hadapan mereka yang tidak senang dengan kehadiranku di sini.
"Saya tak akan ganggu awak lagi. Jadi, awak tak perlu lihat muka saya lagi lepas ni. Nah, ambil hadiah dari saya yang tak seberapa ni." Kau menarik tanganku lalu meletakkan bungkusan. Aku terpinga-pinga.
Setibanya di rumah Mak Nab, aku terus membuka bungkusan yang kau hadiahkan padaku. Selendang. Sehelai selendang berwarna biru laut. Terasa kau sengaja mahu menyindirku, lalu aku terus menyimpan selendang itu ke dalam kotak di bawah katil.

Aku melangkah turun dari bas ketika jam sudah melewati pukul 3.00 petang. Kiri dan kanan tidak aku toleh lagi, bimbang terpandang wajahmu. Aku berjalan terus ke depan. Sesuatu yang 'luar biasa' telah berlaku. Aku tidak mendengar lagi jeritan suaramu. Syukurlah. Mungkin kau sudah memahami kehendak hatiku yang tidak suka diganggu. Barulah aman rasa hati ini.

Dua… tiga… empat hari… aku masih tidak mendengar suaramu. Rutin hidupku sejak hampir dua bulan yang lalu ialah mendengar jeritan suaramu sebaik sahaja melangkah turun dari bas. Tapi sekarang…Hairan! Adakah kau masih di kedai kopi itu, melepak bersama rakan-rakanmu? Atau adakah kau sudah insaf lalu pergi melakukan sesuatu yang lebih berfaedah? Ke mana kau menghilang? Mustahil cepat benar kau berubah sikap…

Hari ini aku beranikan diri menoleh ke arah kedai kopi. Kucuba amati. Ternyata benar telahanku, kau tiada lagi di situ. Ke mana kau menghilangkan diri secara tiba-tiba? Kotak fikiranku diasak pelbagai persoalan.
Betapa hari-hari yang aku lalui terasa sepi tanpamu. Tiba-tiba aku jadi rindu akan usikan nakalmu. Selama ini memang aku benci dengan usikanmu, tapi sekarang.... Ah, aku sendiri tidak faham dengan perasaanku sendiri!
Setelah hampir sebulan tidak mendengar suaramu apatah lagi melihat wajahmu, kerinduan di hati kian menyesak. Aku beranikan diri menghampiri teman-temanmu di kedai kopi. Aku ingin tahu ke mana kau menghilangkan diri. Aku harus mendapatkan jawapan. Agar terhurai segala persoalan yang bermain di fikiran.
"Maafkan saya...saya nak jumpa...er...er..." Siapakah nama kau? Nampak sangat selama ini aku tak pernah ambil tahu tentang dirimu. Yang ada hanya perasaan benci...
"Irshad?"
“Irshad? Lelaki yang selalu mengganggu saya tu, namanya Irshad?”
Jadi insan yang selalu menghubungiku melalui telefon dan selalu menggangguku tika aku pulang dari sekolah adalah orang yang sama. Patutlah sejak aku terima hadiah darimu, aku turut tidak lagi menerima panggilan dari seorang lelaki bernama Irshad. Suara kau di dalam telefon jauh bezanya.
"Dia dah ke Jerman."
Itulah jawapan yang kuterima mengapa kau menghilangkan diri secara tiba-tiba. Mulanya aku menyangka rakan-rakanmu mahu mempermainkan aku. Setelah Pak Mat pemilik kedai kopi mengiakannya, barulah aku percaya. Kau pulang ke kampung untuk bercuti. Dan kini kau kembali ke Jerman, meneruskan pengajianmu dalam bidang kejuruteraan automatif. Dua tahun baru kau akan tamat pengajianmu. Satu tempoh yang singkat sekiranya aku memang mahu berjauhan denganmu. Namun, jauh di sudut hati kecil ini, terasa dua tahun itu satu jangka masa yang amat panjang…
Maafkan aku Irshad kerana menuduhmu yang bukan-bukan. Kau bukan seperti yang aku fikirkan. Tentu kau hanya tersenyum mendengar luahan kemarahanku tempoh hari. Tuduhan aku pada kau semuanya tidak benar. Tapi tuduhan kau ke atas aku, memang benar…Mujurlah kau sudah tiada di sini lagi. Jika tidak, pasti aku malu hendak bertentang mata denganmu. Tapi Irshad, aku sebenarnya lebih suka jika kau masih di sini…

"Kenapa Nadyne? Akak lihat...Nadyne sekarang selalu sangat bermenung."
"Tak adalah kak." Aku cuba menafikan. Memang aku sering bermenung sekarang. Ingatan aku selalu melayang pada kau.
Irshad... insan yang aku tak pernah hargai kehadirannya. Kenapa lambat benar aku hendak memahami perasaan hati ini terhadapmu? Setelah kau pergi, yakinlah aku yang kau amat bererti dalam hidupku. Ketiadaan kau menyebabkan aku jadi perindu sepi...
Teguran darimu masih terngiang-ngiang di telinga. Terus aku membuka almari pakaian. Baju yang tidak sesuai dipakai oleh seorang gadis Muslim terus aku ketepikan! Tudung pemberianmu aku gayakan di depan cermin. Jika aku mahu menjadi orang kampung ini, aku haruslah bijak membawa diri. Irshad, berikan aku sedikit masa untuk berubah. Dua tahun lagi, pasti kau akan melihatku dengan rupa dan gaya yang berlainan. Aku akan menunggu kepulanganmu, Irshad.

“Nadyne?”
Aku terhenti melangkah. Segera aku toleh ke sisi. Seorang lelaki yang sudah agak lama tidakku temui berdiri di sebelahku dengan senyuman di bibir.
“Kau dah berubah. Aku hampir tak kenal kau.” Dia memandangku dari atas ke bawah.
“Manusia pasti akan berubah jua suatu hari nanti.” Balasku. Dia masih seperti dulu, kacak dan bergaya. Yang anehnya, aku langsung tidak merasa gembira bertemu dengannya. Sudah hilangkah perasaan hati ini terhadapnya?
Afzal mengangguk, bersetuju dengan pendapatku.

Papa datang secara tiba-tiba! Aku dan Kak Nadya terkejut dengan kehadiran papa yang tak diundang, apatah lagi mama. Wajah papa tampak sugul…
Papa memohon maaf atas kesalahannya. Papa benar-benar menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya yang lalu. Munirah telah diceraikan papa. Dan kini papa mahu merujuk semula dengan mama.
“Terpulang pada mama. Kami akan akur dengan setiap keputusan mama. Kalau mama mahu kembali ke pangkuan papa, kami tidak akan menghalang. Begitu juga sekiranya keputusan mama adalah yang sebaliknya. Namun, yang pasti, kami akan sentiasa berada di sisi mama.” Luah Kak Nadya apabila mama memohon pendapat kami berkenaan niat papa.

Aku kemaskan barang-barang. Sebak rasa hati hendak meninggalkan rumah Mak Nab. Namun lebih sebak hati ini hendak meninggalkan kampung permai ini. Terlalu banyak kenangan tercipta di sini biarpun persinggahanku seketika cuma.
Irshad, tentu kita tidak akan bertemu lagi. Aku akan pergi dari sini. Aku tidak sempat menunggu kepulanganmu. Mama sudah memaafkan kesalahan papa dan sanggup memberi peluang kedua untuk papa. Begitu murninya hati mama. Papa sudah benar-benar insaf. Esok, papa akan menjemput kami untuk pulang ke rumah.
Aku tidak mampu menjadi seperti mama. Afzal datang merayuku, ingin kembali bercinta seperti dulu. Dia telah lama cuba menjejakiku. Katanya, sejak pemergian aku, barulah dia tahu bahawa dia amat mencintaiku. Aku memahami perasaanmu Afzal. Aku juga berkeadaan sepertimu sejak pemergian seseorang. Maaf Afzal, aku tidak dapat menerima kehadiranmu semula dalam hidup aku.
Irshad, terima kasih di atas teguran kau tempoh hari. Terima kasih juga di atas kenangan indah yang telah kau berikan padaku. Sekiranya kau masih di sini, pasti aku akan mencari kau untuk mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih di atas segalanya.

"Nah, surat!” Kak Nadya menghulurkan sepucuk surat ketika aku selesai mengemaskan pakaian.
"Surat? Dari siapa?" Aku mencapai surat yang dihulurkan Kak Nadya. Terpinga-pinga. Tiada seorang pun teman lama sekolahku yang tahu aku tinggal di kampung ini. Aku ke sini secara tiba-tiba tanpa sempat bertukar alamat dengan teman-temanku.
"Setem dari Jerman. Nadyne ada penpal ke?”
Aku cuma ada penpal dari Argentina dan Itali sahaja. Itupun sudah lama terputus hubungan.
Jerman? Aku mengamati setem. Memang benar. Mungkinkah dari Irshad? Nama itu terus bermain di kotak fikiranku.
Aku terus membawa surat ke dalam bilik. Isi surat aku keluarkan. Mataku terus tertumpu pada baris-baris ayat yang tertera.

Nadyne...
Saya harap warkah saya ini tidak mengganggu kosentrasi Nadyne. Mungkin Nadyne sudah dapat menduga siapa saya, kan?
Saya beranikan diri mengutus surat pada Nadyne setelah saya mendapat tahu dari Halim yang Nadyne datang ke kedai kopi Pak Mat mencari saya. Sehingga sekarang saya tertanya-tanya mengapa Nadyne mencari saya sedangkan saya tahu Nadyne membenci saya.
Nadyne, luangkanlah sedikit masa untuk membalas surat saya. Saya harus mendengar jawapan kenapa Nadyne mencari saya. Jika Nadyne kesuntukan masa, terus sahaja singgah di cyber cafe. Saya sertakan alamat email saya di bawah.
Cepat-cepat berikan jawapan pada saya. Namun jika pencarian Nadyne itu itu tidak membawa sebarang erti, lupakanlah surat ini.
Ikhlas,
Irshad.
Aku terus ke cyber cafe di pekan petang itu.


Tersiar Dalam Majalah Remaja Edisi Jun 2006