Monday, June 19, 2006

Hati Yang Lara

1

Ain melangkah masuk ke dalam perut kereta. Dia memandang teratak buruknya buat kali terakhir. Air mata yang cuba ditahan akhirnya tertumpah jua. Dua puluh dua tahun dia membesar di situ, akhirnya dia akan meninggalkan tempat tersebut mungkin untuk selamanya. Hatinya kian sebak tatkala kereta mula bergerak perlahan-lahan menyusuri jalan kampung. Matanya tidak lepas memandang sekeliling. Tangannya pula tak henti melambai pada teman-teman dan jiran-jiran.

Insan yang disayangi tidak kelihatan. Ain memandang cincin pemberian Wasif. Cincin itu tersarung di jari manisnya. Wasif telah menghadiahkan cincin tersebut pada pertemuan terakhir mereka yang berlaku petang semalam. Wasif merayu agar dia tidak meninggalkan kampung tersebut. Namun dia tidak berdaya menunaikan permintaan Wasif. Dia sudah tiada siapa-siapa lagi sejak ayahnya ‘pergi’. Sudah sebulan ayahnya ke laut dan tidak kembali lagi. Walaupun berat untuk menerima kenyataan, namun itulah hakikatnya. Ain sebatang kara.

“Nah, tisu.” Puan Nora menghulurkan sehelai tisu kepada anak saudaranya. Ain menyambut tisu yang dihulurkan.

“Terima kasih.” Selama 22 tahun Ain tidak pernah tahu bahawa ayahnya mempunyai seorang adik perempuan. Minggu lepas, Puan Nora datang bertamu. Menurut Puan Nora, dia baru sahaja menerima berita pemergian abangnya.

“Ain jangan sedih ye. Bila senang nanti, kita akan ke sini lagi.”

Ain mengangguk. Dia masih segan pada ibu saudaranya itu. Sekali pandang dia tidak percaya bahawa wanita itu sedarah dengan ayahnya. Puan Nora wanita yang anggun dan bergaya. Berbeza dengan ayahnya. Menurut Puan Nora, mereka berasal dari bandar. Kerana berlaku sedikit salah faham dengan orang tua mereka, abangnya telah membawa diri. Tanpa pengetahuan orang tua mereka, Puan Nora telah menghubungi abangnya sejak dua tahun setelah berjaya menjejak abangnya.

Kampung Seri Indah semakin jauh ditinggalkan. Semua kenangan dibawa bersama. Dia akan menempuhi kehidupan baru di bandaraya. Kehidupan yang masih belum dapat dibayangkannya, indahkah atau tidak seperti yang diimpikan? Ain cuma pernah sekali bertemu dengan Puan Nora, itupun pada hari raya tahun lepas. Puan Nora datang bersama pemandunya, Pak Lang. Pernah Ain ajukan pada ayahnya sama ada Puan Nora mempunyai keluarga atau tidak, namun ayahnya keberatan untuk membuka mulut.

“Ain buat apa sekarang?” Soal Puan Nora lembut.

“Duduk rumah je. Nak kerja ayah tak bagi.” Luah Ain. Dia juga ingin sangat-sangat mencari kerja supaya dapat menanggung ayahnya yang sudah tua, namun ayahnya menghalang sekeras-kerasnya niatnya itu.

“Tak sambung belajar? Ain masih muda.”

Ain senyum tawar. “Dah dua kali mohon universiti, tapi tak ada rezeki.” Sedih bercampur gembira di hati Ain tatkala melihat sahabat karibnya, Yati berjaya melanjutkan pelajaran ke UKM. Begitu juga dengan Zaid dan Hakim. Keputusan Ain lebih baik dari Hakim, namun mungkin dia tersalah mengisi pilihan kursus. Ain hanya memohon kursus pendidikan kerana sejak dari kecil dia bercita-cita ingin menjadi seorang guru.

“Kalau Ain masih bersemangat untuk belajar, di sana nanti Ain boleh pilih mana-mana kolej. Aunty akan uruskan.”

“Eh, tak payahlah. Buat susah-susah aje.” Ain tidak mahu kehadirannya di kediaman Puan Nora akan menyusahkan ibu saudaranya itu. Cukuplah jika dia diberi tempat perlindungan dan sedikit makanan di sana nanti.

“Ain kan masih muda, jadi penuhi ilmu di dada. Aunty akan uruskan pendaftaran Ain di Kolej Mercu Jaya. Anak sulung aunty belajar di situ.”

Ain terdiam. Puan Nora mempunyai anak rupanya. Dia sudah tidak sabar untuk berkenalan dengan sepupunya. Namun tiba-tiba kegembiraannya lenyap dan berganti dengan perasaan bimbang. Ain bimbang anak Puan Nora tidak akan menerima kehadirannya.

“Syasha tak balik lagi?” Aju Puan Nora.

“Belum Puan.” Balas Mak Jah, orang gaji di situ.

“Syasha ke mana?”

“Lepas ke kolej, katanya nak singgah di The Moon. Nak menonton wayang bersama teman-teman katanya.”

“Dia tak cakap bila nak balik?”

Mak Jah menggeleng. Puan Nora mengeluh. Ain tercegat di situ sambil matanya tidak lepas memerhati hiasan perabot disusun cantik di ruang tamu. Dia tidak menyangka dia mempunyai ibu saudara yang berharta. Jika Puan Nora hidup dalam kemewahan, kenapa pula ayahnya hidup melarat? Mungkin Puan Nora berkahwin dengan lelaki kaya. Ain terus berteka-teki.

“Aidyn?”

“Masih di bilik. Sambung tidur lagi agaknya. Semalam dia menonton perlawanan bola sepak hingga jam empat pagi.”

Puan Nora menggeleng-geleng lalu memandang Ain. “Aunty dah bagitahu mereka yang Ain akan tiba hari ni. Mereka lupa agaknya. Maafkan anak-anak aunty tu ye.”

“Tak apalah aunty, saya masih ada banyak masa untuk berkenalan dengan mereka.”

“Mulai hari ni, rumah ni rumah Ain juga. Jangan segan-segan.” Puan Nora tahu Ain masih malu-malu.

Ain tersipu-sipu. Dia tidak tahu bagaimana hendak membiasakan diri di rumah besar itu. Terlopong mulutnya sebaik sahaja kereta memasuki halaman rumah. Dia seolah bermimpi kerana kini berada di sebuah mahligai indah. Tak pernah dia membayangkan akan tinggal di rumah besar suatu hari nanti.

“Mari aunty tunjukkan bilik Ain. Kemudian aunty akan tunjukkan Ain kawasan rumah ni.” Puan Nora menarik tangan Ain.

“Ini bilik Ain.” Ujar Puan Nora sambil memulas tombol pintu.

Ain terpaku. Bilik tidurnya lebih luas daripada teratak buruknya. Ada katil dihias cantik dengan cadar berbunga matahari, ada kabinet pakaian, ada tv dan hifi, juga ada sebuah rak kecil di penjuru. Matanya tak berkelip.

“Bilik Ain?” Ain rasa macam tak percaya.

“Bilik Ain. Masuklah.” Puan Nora sudah membuka pintu luas-luas.

Bismillahirrahmanirrahim.... Ain melangkah masuk. Dia meletakkan beg pakaian di hujung katil. Kemudian Ain ke jendela. Langsir diselak. Pemandangan di luar indah sekali. Ain senyum memandang Puan Nora. Dia bersyukur tak terhingga kerana mempunyai ibu saudara yang cukup baik.

“Mari, aunty tunjukkan kawasan rumah ni.”

Ain yang masih keberatan untuk meninggalkan bilik tersebut terpaksa akur. Tak sabar dia hendak mengemas pakaian yang dibawa ke dalam alamari. Dia beriringan dengan Puan Nora.

“Ini bilik anak sulung aunty, Aidyn.”

Ain terkedu. Bilik Aidyn di sebelah biliknya. Bagaimana rupa wajah sepupunya itu, masih belum dapat dibayangkannya. Di sebelah bilik Aidyn adalah bilik adiknya, Syasha dan diikuti bilik Puan Nora sendiri. Di tingkat itu juga ada ruang bersantai dan balkoni menghadap taman belakang rumah. Di tingkat bawah pula terletak ruang tamu, dapur dan bilik bacaan. Menurut Puan Nora bilik bacaan juga adalah pejabatnya. Ain tertanya-tanya apakah pekerjaan Puan Nora. Dan di manakah suami Puan Nora. Mulutnya berat untuk bertanya, bimbang diri dituduh penyibuk. Lambat-laun dia pasti akan tahu juga.

“Tunggu kejap ye Ain. Kita makan sama-sama. Mak Jah tolong panggil Syasha dan Aidyn. Suruh mereka cepat sikit.” Ujar Puan Nora.

Ain hanya menurut sahaja perintah ibu saudaranya. Puan Nora melayannya seperti anak sendiri. Dia yang kekok. Dia tidak biasa dilayan oleh seorang wanita bergelar ibu. Ibunya telah meninggal sejak dia berusia empat tahun lagi. Gambar ibunya sendiri dia tidak pernah lihat. Ayahnya yang memeliharanya bersendirian. Kehidupannya sederhana sahaja. Ayahnya hanyalah seorang nelayan. Pendapatan pulak tidak menentu.

Ain memandang makanan yang terhidang di atas meja. Pelbagai masakan tersedia. Ain tidak pernah lagi menyentuh makanan tersebut. Nama masakan pun dia tidak tahu. Hanya masak lemak cili api sahaja yang dia kenal pasti. Di depannya tersedia pinggan kaca. Ada sudu dan garfu di situ. Dadanya sudah berdebar-debar. Dia tidak pandai makan menggunakan sudu dan garfu. Di rumah, dia hanya makan menggunakan tangan. Tiada lauk istimewa. Hari-hari makan ikan yang digoreng. Kekadang ikan dimasak lemak dan sekali-sekala masak bersama kicap. Lauk yang dimasak tak lebih dari tiga jenis sahaja.

Wajah ayah yang sudah berkedut terbayang di ruang mata. Bagaimana jika ayah masih hidup dan kini terdampar di sebuah pulau? Ain sering bermimpi yang ayahnya masih hidup. Namun orang selalu berkata mimpi biasanya berlawanan. Pihak berkuasa telah berusaha mencari ayahnya di tengah lautan. Namun tiada khabar.

Seorang perempuan yang kelihatan sebaya dengan umur Ain melangkah menghampiri meja makan. Perempuan itu memakai baju tanpa lengan dan berskirt pendek atas lutut. Rambutnya lurus seperti iklan syampu di dalam televisyen. Ain terpaku. Dia juga berdebar-debar, bimbang perempuan tersebut bersikap sombong kepadanya.

“Ain?”

Ain mengangguk, masih takut-takut.

“Saya Syasha.” Syasha menghulurkan tangan. Bibirnya terukir senyuman. Ain tarik nafas lega. Dia bersalam dengan Syasha. Malah Syasha turut mencium kedua belah pipinya. Syasha tidak seperti yang dibayangkannya. Pada fikiran Ain anak orang kaya, ditambah pula dengan rupa yang cantik, tentu akan bersikap sombong kepadanya, gadis kampung yang tak punya apa-apa.

“Syasha anak bongsu aunty. Sebaya dengan Ain.” Luah Puan Nora.

“Ain macam seorang puteri zaman dulu-dulu, kan ma? Ayu, manis, cantik... Kulit pun putih bersih... tak ada cela langsung.” Puji Syasha. “Sha tak sangka ada saudara cantik macam Ain.”

Ain tersipu-sipu malu. Dia tidak biasa dengan pujian. Syasha sudah dikenalinya. Masih ada seorang lagi sepupu yang harus dia kenal. Baik seperti Syashakah? Biasanya kalau adik peramah, abangnya juga pasti peramah.

“Abang masih di bilik lagi ke?” Soal Puan Nora.

“Dah nak turun dah tadi.”

Ain mencuri pandang wajah sepupunya. Syasha berkulit cerah, sama sepertinya. Baju yang dipakai Syasha agak sendat. Ain terasa malu jika berpakaian begitu biarpun tiada orang yang akan lihat. Mungkin Syasha sudah biasa berpakaian begitu. Kata orang, jika kita tinggal di bandar besar kita akan terikut-ikut dengan cara dan gaya mereka. Ain berdoa semoga pendiriannya tidak berubah. Dia akan kekalkan imejnya yang sebenar.

“Hai ma, Syasha, er....”

Ain memandang ke arah lelaki yang baru muncul di ruang makan. Tentu ini Aidyn. Lelaki itu memakai subang di sebelah telinga kanannya. Rambutnya cacak warna blonde. Ada sejemput janggut di dagu.

“Ini Ain, sepupu yang mama ceritakan.”

Aidyn menghulurkan tangan. Ain teragak-agak untuk menyambut salam Aidyn. Berdosa hukumnya bersalam dengan seorang lelaki bukan muhram.

“Aidyn, tunggu Ain.” Laung Puan Nora. Aidyn yang sedang bergerak ke garaj kereta terhenti melangkah. Dia menoleh ke arah ibunya.

“Tumpangkan Ain sekali.”

Ain yang sedang melangkah ke luar berdebar-debar. Hari ini adalah hari pertama dia akan belajar di kolej. Dua hari lepas Puan Nora telah menguruskan pendaftarannya. Aidyn menuntut di kolej yang sama. Syasha pula di kolej lain. Ain lebih mengharap agar dia belajar di kolej yang sama dengan Syasha. Ini kerana dia sudah dapat menilai sikap Syasha. Gadis itu baik padanya, tidak seperti abangnya. Aidyn tampak kurang mesra padanya. Semalam, Aidyn menolak permintaan Puan Nora supaya membawanya bersiar-siar. Walaupun terguris dengan sikap Aidyn yang sombong, Ain sebenarnya amat gembira. Jika dia keluar bersama Aidyn tentu lelaki itu akan melayannya seperti orang gaji. Aidyn seolah-olah tidak dapat menerima kehadirannya. Kenapa Aidyn bersikap demikian Ain tak pasti. Rasa-rasanya dia sudah berusaha ke arah untuk berbaik dengan Aidyn.

“Mama nak suruh Aidyn tumpangkan gadis kampung tu? Please mama... jatuh standard Aidyn nanti bila kawan-kawan Aidyn lihat Aidyn datang dengan gadis kolot tu.”

Ain pura-pura tidak dengar perbualan Puan Nora dan Aidyn. Ain terus menyarung kasut. Terkilan hatinya apabila digelar gadis kampung yang kolot. Tambah terkilan hatinya apabila Aidyn malu mempunyai sepupu sepertinya. Dia bukan meminta untuk dilahirkan dalam keadaan serba kekurangan.

“Perlahan sikit suara. Aidyn mesti tumpangkan Ain. Tak kasihan ke dengan Ain. Dia kan masih baru di sini.”

Tak payah suruh Aidyn perlahankan suara, aunty. Ain dah dengar.

“Aidyn malulah ma. Dia tu macam ustazah.”

Ain masuk ke dalam rumah semula. Dia tidak tahan dihina. Kalau Aidyn tak mahu tumpangkannya pun tak apa. Dia boleh pergi ke kolej dengan bas. Puan Nora telah memberikan sejumlah wang kepadanya untuk membeli pakaian baru di pusat membeli-belah petang semalam. Dia ke sana ditemani Pak Lang, pemandu Puan Nora kerana Aidyn enggan menemaninya. Dia hanya membeli tiga pasang baju kurung sahaja. Itulah pakaian yang akan dipakainya hari-hari. Dia selesa berbaju kurung. Baki duit masih banyak dan Puan Nora meminta agar dia menyimpan duit tersebut.

“Ain!” Terdengar namanya dipanggil Puan Nora. Dia segera melangkah keluar dengan harapan kelibat Aidyn sudah tiada di halaman.

“Pergi dengan Aidyn ye, lebih selamat. Nanti Aidyn boleh tunjukkan bilik kuliah.”

Ain bergerak menuju ke kereta Aidyn dengan seribu satu macam perasaan. Dia sudah tahu bagaimana sikap Aidyn dan dia tidak pandai berlakon berpura-pura tidak tahu yang Aidyn keberatan untuk menumpangkannya. Aidyn sudah menantinya di dalam perut kereta. Di dalam hatinya bermacam-macam perasaan. Takut, malu, benci dan geram bercampur menjadi satu. Belum sempat Ain hendak membetulkan kedudukan, Aidyn dengan wajah masam mencuka sudah menggerakkan kereta.

“Pasang tali keledar tu.”

“Hah? Tali keledar?” Ain terpinga-pinga. Terkejut dia apabila mendengar jerkahan Aidyn. Dia sangka Aidyn akan protes arahan ibunya dengan mengunci mulut di dalam kereta.

“Itu pun tak tahu?” Sindir Aidyn. Dengan sebelah tangan Aidyn terus memasangkan tali keledar untuk Ain. Ain terpinga-pinga. Sepupunya itu sangat sombong. Dia bukannya bodoh. Dia tahu apa itu tali keledar. Cuma dia tidak pernah menggunakannya. Setiap kali menumpang kereta ketika di kampung, dia duduk di belakang.

Aidyn diam. Ain juga diam. Dia berdoa semoga cepat sampai ke kolej. Aidyn memandu kereta laju. Tentu lelaki itu memprotes arahan Puan Nora supaya menumpangkannya. Ain memendamkan perasaan. Aidyn menghentikannya di luar kolej. Setelah mengucapkan terima kasih, Ain terus melangkah keluar. Dia terpaksa berjalan sendiri mencari bilik kuliah. Aidyn ingkar arahan Puan Nora. Ain tidak kisah. Dia lebih suka berjalan sendiri dari ditemani lelaki sombong.

“Cari bilik kuliah apa?”

Ain terpinga-pinga. Ada orang yang sedang memerhati gerak-gerinya. Ain menoleh ke kiri. Seorang lelaki berdiri tidak jauh darinya menghadiahkan senyuman. Lelaki itu menghampirinya.

“Ini.” Ain menghulurkan kertas sambil menunjukkan bilik kuliah pertama yang akan dihadirinya.

“Oh, bilik kuliah ni di bangunan sana. Mari saya tunjukkan.”

Ain rasa bersyukur. Dia telah bertemu dengan seorang lelaki yang baik hati. Fawwaz namanya. Fawwaz sudah di semester akhir. Fawwaz juga yang menunjukkan tempat dia menunggu bas dan bas yang mana satukah yang perlu dinaikinya untuk ke Taman Permata Nilam.

Ain merenung bintang di langit. Sudah dua bulan dia menetap di rumah Puan Nora. Puan Nora sudah lama bercerai dengan suaminya. Bekas suami Puan Nora kini berada di Australia. Puan Nora menguruskan sebuah syarikat tinggalan ayahnya, yang juga adalah datuk Ain. Ain tidak berkesempatan menemui datuknya yang baru sahaja meninggal dunia enam bulan yang lalu. Neneknya juga sudah tiada lagi. Ain hairan mengapa ayahnya hidup melarat sedangkan orang tua ayahnya adalah golongan hartawan. Puan Nora melayannya seperti anak sendiri.

Syasha pula baik padanya. Syasha sering membelanya ketika dia dimarahi Aidyn. Pada hari pertama ke kolej, Ain telah pulang ke rumah dengan menaiki bas. Aidyn mengamuk besar kerana katanya dia penat mencari Ain di sekitar kolej. Aidyn terus tidak mahu menumpangkannya lagi kerana kata Aidyn, dia menyusahkan lelaki itu. Ain tidak melawan. Dia memang bersalah. Dia tidak memberitahu Aidyn terlebih dahulu bahawa dia ingin pulang menaiki bas. Pada mulanya dia sangka Aidyn akan gembira kerana dia tidak menumpang kereta lelaki itu, tetapi sebaliknya pula yang berlaku.

Fawwaz baik padanya. Fawwaz juga berasal dari kampung dan keluarga Fawwaz sederhana. Dia pernah keluar sekali dengan Fawwaz ke pusat membeli-belah. Fawwaz belanja makan KFC. Selepas itu dia tidak pernah keluar lagi dengan Fawwaz. Ini kerana Puan Nora tidak suka dia keluar dengan lelaki bukan saudara sendiri. Puan Nora bimbangkan keselamatannya. Kalau dia hendak ke mana-mana, dia boleh minta Syasha, Aidyn ataupun Pak Lang temankan. Atau Puan Nora sendiri. Dia pernah keluar dengan Syasha menonton wayang. Namun dia kurang suka dengan sikap teman-teman Syasha yang terlalu sosial. Lelaki dan perempuan bertepuk-tampar tanpa ada rasa malu. Dia tidak pernah keluar lagi dengan Syasha. Dengan Aidyn? Jangan haraplah! Lelaki itu tidak pernah memberi muka padanya.

Ain merenung ke kawasan air terjun buatan. Ada aura yang membuatkannya memandang ke situ. Dalam cahaya suram, dia melihat kelibat seseorang di situ. Ain terus berundur. Ikatan langsir dilepaskan.

Hati Aidyn bagai dicucuk sembilu bila melihat kemesraan Ain dan Fawwaz di kafeteria. Dia berharap agar Ain tidak menyimpan perasaan pada Fawwaz. Lelaki itu tidak sesuai menjadi teman lelaki Ain. Fawwaz buaya darat. Aidyn berharap Ain tidak terperangkap dengan kata-kata manis Fawwaz. Ain layak untuk seorang lelaki yang beriman dan bertanggungjawab. Sebab itulah dia cuba membenci Ain kerana dirinya seorang lelaki yang tidak layak menjadi teman hidup Ain. Tapi entah kenapa, setiap kali dia memaksa perasaannya supaya membeci Ain, dia bertambah sayang kepada sepupunya itu. Sejak kali pertama memandang wajah Ain dia sudah jatuh cinta. Ditambah pula dengan sikap Ain yang lemah lembut dan sopan santun. Hati lelaki mana yang tidak tertawan? Biarpun Ain sering bertudung di dalam rumah, namun sering juga dia mencuri-curi pandang wajah gadis itu tanpa tudung setiap kali gadis itu membilang bintang di langit. Wajah Ain bertambah cantik disimbah cahaya bulan. Rambutnya yang ikal mayang menambahkan lagi keayuan Ain. Namun sejak akhir-akhir ini dia sudah jarang melihat Ain membilang bintang. Mungkin gadis itu sudah menyedari kehadirannya.

Aidyn menekan perasaan cemburu. Dia tidak boleh jatuh cinta pada Ain. Dia tidak mahu melukakan perasaan gadis itu.

Ain melihat sendiri perubahan Aidyn. Perubahan ke arah kebaikan. Sepupunya itu tidak lagi bertindik. Rambut juga sudah kembali warna hitam. Pakaian sentiasa kemas. Sembahyang Jumaat juga sudah tidak tinggal lagi. Paling ketara perubahan Aidyn adalah ketika berbicara dengannya. Lelaki itu sudah mula membuka mulut dan berbicara baik-baik dengannya. Aidyn tidak lagi menyindirnya sebagai gadis kampung yang kolot. Malah lelaki itu kini sudah mula menghormati cara hidupnya.

“Jauh tak kampung kelahiran Ain?” Aju Aidyn suatu petang ketika mereka berdua duduk di pinggir air terjun buatan di halaman rumah.

“Beratus kilometer dari sini.” Ain masih kekok berbicara dengan Aidyn. Dia masih belum dapat menerima perubahan Aidyn yang mendadak. Dia juga masih belum dapat mengikis tanggapan pertamanya terhadap Aidyn, seorang lelaki yang sombong.

“Tak ingin kembali ke sana?”

“Memanglah nak. Tunggu habis belajar dulu.” Terasa Aidyn mahu menghalaunya. Tamat belajar, Ain bercadang hendak mencari pekerjaan di daerah keliharannya. Jiwanya lebih sesuai dengan kehidupan kampung walaupun kehidupannya di situ dilimpahi kemewahan.

“Tak, maksud saya pulang sehari dua. Tentu masih ada kawan-kawan di sana, kan?”

“Kena minta kebenaran aunty dulu.” Sudah enam bulan dia di bandar, sekalipun dia belum pernah pulang ke kampung. Rindunya pada kedamaian kampung dan teman-teman tak boleh diungkapkan dengan kata-kata. Dan yang paling dirinduinya tentulah Wasif...

“Isnin minggu depan cuti. Kalau Ain nak balik melawat teman-teman, saya boleh hantarkan.”

Ain terkedu. Pelawaan Aidyn memang menarik. Dia sudah tidak sabar bertemu dengan teman-teman sekampung. Namun bila memikirkan yang Aidyn akan menghantarnya, dia jadi resah. Hendak menolak nanti Aidyn terasa hati. Hendak menerima, nanti apa pulak pandangan orang kampung jika dia pulang bersama seorang lelaki. Apa pula pandangan Wasif? Haruskah aku menerima pelawaan Aidyn? Orang kampung tak biasa melihat seorang gadis bersama dengan lelaki bukan muhrim.

“Pergilah, Mimah tunggu Ain di sini.” Ujar Hamimah.

“Terima kasih kerana sudi menolong Ain.” Ain meninggalkan Hamimah di bawah pokok sendirian. Dia melangkah menuju ke arah Aidyn yang sedang menunggunya di persisiran pantai.

“Cantik pemandangan di sini. Saya dah terpikat.” Luah Aidyn.

“Mampu ke abang Aidyn menjalani kehidupan di sini? Di kampung ni tak seperti di bandar. Tak ada pusat membeli-belah, tak ada panggung wayang, tak ada taman tema...” Ain yakin Aidyn tidak maksudkannya. Lelaki bandar yang hidupnya diselimuti kemewahan mana mungkin mampu bertahan di kampung yang tak ada apa-apa.

“Saya akan belajar hidup sebagai orang kampung.”

“Abang Aidyn ni betul-betul ke?” Ain telah tiba di kampung sejak petang semalam. Dia menumpang tidur di rumah kawannya, Hamimah. Aidyn pula menyewa di chalet berdekatan. Mujurlah Aidyn memahami keadaannya. Hendak dipelawa Aidyn tinggal sekali di rumah Hamimah, apa pulak kata orang tua Hamimah nanti. Tidak dipelawa, apa pulak pandangan Aidyn nanti. Sedangkan Aidyn telah memandu jauh. Mujurlah Aidyn seolah-olah faham dengan keadaannya tika itu.

“Betullah. Harap-harap saya akan berkahwin dengan orang di sini. Saya akan tinggal di sini. Saya dah bosan tinggal di bandar yang penuh dengan kepura-puraan.”

“Tentu gadis-gadis di sini tak mampu memikat hati abang Aidyn. Mereka tak pandai bersolek atau bergaya. Lagipun keluarga mereka tak setaraf dengan keluarga abang Aidyn. Tentu abang Aydin tak suka.”

“Saya akan berkahwin bukan dengan gadis yang pandai bersolek atau bergaya. Dan bukan juga berdasarkan status keluarganya. Yang penting hati saya ni. Kalau hati saya dah terpikat pada seseorang gadis, yang lain tolak ke tepi.”

Ain tergelak kecil. Terasa Aidyn sedang bergurau dengannya.

“Saya serius.” Aidyn tidak mahu Ain memperlekehkan kata-katanya. Dia memang maksudkannya. Dan dia sudah menjumpai gadis yang telah membuka hatinya.

“Ha...itu pondok buruk tempat Ain tinggal.” Ain menunjuk ke arah terataknya.

Mereka berjalan menuju ke arah rumah usang itu.

“Di sinilah Ain dilahirkan dan dibesarkan.”

“Ain sanggup tak tinggal di rumah ni lagi apabila kita berkahwin nanti?”

Ain terkedu.

Ain memeluk teddy bear hadiah dari Aidyn. Semua ini tak pernah dibayangkannya apatah lagi dirancang. Aidyn kini menjadi kekasih hatinya. Sejak pulang dari kampung, hubungannya dengan Aidyn kian akrab. Puan Nora dan Syasha sendiri telah menghidu perhubungan mereka. Puan Nora tidak membantah. Ain bersyukur.

Ain sendiri tidak pasti sejak bila dia jatuh cinta dengan sepupunya sendiri. Dan sejak bila pula perasaannya terhadapi Wasih pudar. Mula-mula berkenalan dengan Aydin, dia akui yang dia benci lelaki itu sangat-sangat. Namun sejak Aidyn berubah sikap dan gaya dia mula tertarik. Aidyn seorang lelaki yang mengambil berat terhadapnya. Ke mana dia pergi pasti Aidyn akan menemani. Keselamatannya sentiasa dilindungi lelaki itu.

Cincin pemberian Wasif telah disimpan dan jari manisnya kini diganti dengan cincin pemberian dari Aidyn. Dia yang memilih sendiri cincin tersebut. Di atas katilnya penuh dengan teddy bear pemberian Aidyn. Begitu juga dengan alamari pakaiannya. Kebanyakan bajunya hadiah dari Aidyn. Hidupnya kini terasa indah sekali.

Ain bingkas bangun dari katil. Tekaknya harus dibasahkan. Tanpa memakai tudung, dengan harapan semua penghuni telah tidur, Ain melangkah ke dapur di tingkat bawah. Bilik Aidyn tertutup rapat. Tentu Aydin sudah nyenyak... Ain melangkah menuruni anak tangga. Tiba-tiba telinganya menangkap perbualan dengan jelas. Perbualan yang berlaku mungkin di bahagian ruang makan. Ain terhenti melangkah.

“Kau kena bertunang dengan Ain cepat-cepat.”

“Tunggulah hingga Aidyn tamat kolej dulu, ma. Banyak sangat benda nak buat sekarang.”

“Kau tak boleh tangguh-tangguh lagi. Budak tu cantik. Nanti dapat kat orang lain dulu. Semua harta yang diserahkan datuk kau padanya akan dapat pada orang lain. Termasuk sekali rumah ni.”

Ain terpanar! Harta? Datuk?

“Dia dah ada dalam genggaman Aidyn sekarang, ma. Dia tak akan pandang lelaki lain lagi.”

“Kau mana tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Kalau boleh mama nak kau kahwin dengan Ain tu sekarang juga. Biar semua harta dia yang dia tak tau tu, dapat kat kau. Baru mama boleh tidur lena.”

“Tapi ma... Aidyn kan masih muda. Aydin tak mahu terikat lagi.”

“Mama tahu kau tak suka dengan Ain. Tapi kau kena berkorban sikit. Ketepikan dulu perasaan kau. Bila dia dah sah jadi isteri kau nanti, lantaklah kau nak buat apa pun. Janji harta dia dah diserahkan pada kau.”

Ain teguk liur. Dia segera berlari ke atas dan menuju ke biliknya. Pintu terus dikunci. Dia mengurut dada. Air mata sudah merembes keluar. Aku ditipu selama ni. Ain meraung dalam hati. Dia teresak-esak.

Aidyn meraup muka. Ketika keluar bersama Ain ke kolej pagi tadi, gadis itu lebih banyak membisu. Sepatah ditanya sepatahlah yang dijawab Ain. Tiada lagi senyuman terukir di bibir Ain. Gadis itu seperti sedang menyimpan masalah tapi enggan menceritakan kepadanya. Sebaik tiba di kolej, Ain terus berlalu.

Aidyn terus menanti. Ain masih belum muncul di tempat biasa. Jam sudah melepasi 2.30 petang. Biasanya tepat jam dua, Ain sudah menantinya di kereta. Tapi hari ni.... Aidyn mengeluh. Kelibat Ain juga tidak kelihatan di perpustakaan mahupun kafeteria.

Rancangan ibunya tiba-tiba bermain di fikiran. Sejak peguam membaca wasiat datuk, ibunya terus mengatur rancangan. Ini kerana harta yang disangka akan ditinggalkan datuk untuk ibunya telah diserahkan kepada Ain, anak kepada anak sulung datuk yang telah membawa diri kerana sedikit selisih faham. Selama ini Aidyn sendiri tidak pernah tahu kewujudan bapa saudaranya itu, apatah lagi Ain. Dia sangkakan ibunya anak tunggal.

Aidyn menggosok-gosok leher. Rancangan ibunya tak masuk akal. Dia membantah rancangan ibunya. Sebab itulah dia cuba menghalang hatinya dari jatuh cinta kepada Ain. Namun dia tidak mampu menghalang kehendak hatinya. Dia telah jatuh cinta pada Ain. Aidyn dalam dilema. Jika dia berkahwin dengan Ain tentu ibunya akan menyangka dia berkahwin kerana meneruskan rancangan mereka. Sedangkan hakikatnya tidak. Dia memang sudah jatuh cinta pada Ain. Sebab itulah setelah berkahwin dengan Ain dia mahu mengajak gadis itu tinggal di kampung. Dia tidak mahu ibunya mengganggu kehidupannya.

“Awak tunggu Ain ke?” Aju seorang gadis, mungkin kawan sekuliah Ain.

“Ye, awak nampak dia?”

“Ain dah pergi pagi-pagi lagi, sebelum kuliah bermula. Bila saya tanya nak ke mana, dia kata nak pergi jauh.”

Aidyn terpinga-pinga.

Ain mengesat air mata. Dia masih bingung dengan apa yang berlaku ke atas dirinya. Keindahan hidup seketika cuma. Semua yang telah berlaku bagaikan sebuah mimpi ngeri. Bermula dengan kehilangan ayahnya, kemudian dia berhijrah ke bandar, hidup penuh kemewahan dan akhirnya dia menyedari semua itu hanyalah sebuah kepalsuan. Kebaikan Puan Nora dan anak-anaknya adalah sebuah kepura-puraan. Mereka berbaik dengannya bukannya kerana simpati tetapi kerana harta yang diwarisinya. Harta yang dia sendiri pun tidak tahu. Kenapa datuk mewariskan harta kepada aku sedangkan datuk tidak mengenaliku? Kenapa tidak wariskan sahaja kepada Puan Nora?

Ain terus menyusur pantai. Matahari sudah separuh terbenam. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Terengganu memang memenatkan. Namun sesaat pun dia tidak dapat melelapkan mata. Hatinya terus tertanya mengapa keluarga Puan Nora memperlakukannya sedemikian rupa? Lebih sebak hatinya bila terkenangkan Aidyn. Aidyn juga telah berpura-pura dengannya selama ini. Dianggapnya cinta yang diserahkan Aidyn adalah hadiah terindah yang pernah diterima seumur hidupnya. Hatinya ikhlas mencintai Aidyn.

Sebaik sahaja terdengar perbualan Puan Nora dan Aidyn, Ain terus ke bilik. Dia tidak dapat lelapkan mata. Otaknya ligat berputar. Jika dia terus tinggal di rumah besar itu, dia akan terus dipergunakan Puan Nora dan anak-anaknya. Ain terus mengambil keputusan drastik dengan meninggalkan rumah besar dan pengajiannya. Biarpun sayang akan pelajarannya, Ain terpaksa meninggalkannya juga untuk kebaikan dirinya. Tentu saat ini Puan Nora dan seluruh ahli keluarganya sedang tercari-cari dan tertanya-tanya ke mana menghilangnya dia. Ain tidak rasa bersalah meninggalkan keluarga tersebut tanpa ucapan selamat tinggal. Biar keluarga itu tahu dia bukan gadis kampung yang boleh diperbodohkan sewenang-wenangnya.

Ain melangkah ke rumah Hamimah. Dia akan menumpang sementara waktu di rumah Hamimah. Rumahnya sedang dibersihkan. Dia telah membuat perancangan. Dia akan mencari kerja untuk menampung kehidupannya. Hamimah telah sudi menemaninya bermalam di rumahnya. Pelajaran terpaksa dilupakan dulu. Setelah ekonomi kukuh, barulah dia akan menyambung pelajarannya semula.

Ain terhenti melangkah apabila melihat sebuah pacuan empat roda tersadai di halam rumah Hamimah.

Puan Nora tidak tahu apa yang harus dilakukannya lagi. Pemergian anak saudaranya secara tiba-tiba mengganggu fikirannya. Kenapa Ain pergi? Dia yakin segala rahsia terkunci di mulut dia dan anak-anaknya sahaja. Tak mungkin rahsia tersebut telah sampai ke telingan Ain. Gadis kolot itu bukannya tahu apa-apa. Puan Nora tidak dapat berdiam diri. Dia telah mengerahkan Syasha mencari Ain di sekitar kotaraya. Aidyn pula telah menawar diri untuk mencari Ain di kampung asalnya. Puan Nora bimbang. Dia tidak mahu rancangan yang telah diatur rapi itu musnah sekelip mata.

Ayahnya telah bergaduh dengan Mustakim ketika Mustakim masih belajar di universiti. Punca pergaduhan kerana Mustakim mahu kahwin ketika masih belajar. Jika gadis yang ingin dikahwini itu setaraf dengan keluarga mereka tentu ayahnya Encik Abdullah tidak akan menghalang. Tetapi Mustakim telah memilih seorang gadis anak nelayan sebagai pasangan hidupnya. Mustakim telah jatuh cinta dengan anak kepada keluarga angkatnya. Mustakim telah mengikuti program anak angkat anjuran universiti. Encik Abdullah mengamuk besar dan menyuruh memilih antara keluarga dengan isterinya. Mustakim telah memilih Jamilah. Encik Abdullah terus menghalau Mustakim dan menghentikan perbelanjaan universiti anaknya itu. Akibatnya Mustakim terpaksa berhenti belajar kerana tiada wang dan akhirnya pulang ke kampung bapa mertuanya.

Ketika dalam keadaan uzur, Encik Abdullah telah meminta Puan Nora mencari Mustakim. Puan Nora berjaya mengesan abangnya dan melaporkan tentang kehidupan abangnya yang daif. Puan Nora langsung tidak menyangka Encik Abdullah rasa bersalah atas perbuatannya lalu. Kerana mahu menebus dosa, Encik Abdullah telah mewariskan hartanya kepada Ain, anak tunggal Mustakim. Puan Nora rasa terkilan. Dia yang sentiasa di samping Encik Abdullah ketika lelaki itu sakit, tidak dihargai. Selama ini dia memang sudah berangan-angan akan mewarisi semua harta Encik Abdullah memandangkan Mustakim sudah tiada. Tak sangka ini pulak yang terjadi.

“Abang dah balik, ma?” Aju Syasha. Puan Nora terus berhenti mengelamun.

“Belum. Jumpa Ain?”

Syasha menggeleng. “Dah tiga hari abang ke kampung Ain, ma. Entah-entah abang sesat ma.”

Puan Nora hanya terdiam. Tak mungkin Aidyn sesat. Aidyn sudah pernah ke sana. Yang dibimbanginya anak sulungnya itu akan mengikut jejak abangnya.

“Saya ikhlas mencintai Ain.”

“Sebolehnya saya ingin percaya. Tapi...”

“Tapi apa?” Desak Aidyn.

“Ambillah semua harta tu. Saya tak kisah. Saya tak perlukannya.” Ain yakin hanya harta sahaja yang diinginkan Aidyn bukan cinta sejati dari hatinya.

“Kenapa Ain cakap macam tu? Ain tak percayakan keikhlasan saya ke?”

“Tak payahlah awak nak berlakon. Saya dah tahu semua rancangan awak dan mak awak tu. Jangan ganggu saya lagi. Awak bawa aje surat penyerahan harta untuk saya tandatangan.”

“Ain!” Laung Wasif. Ain segera beredar menuju ke arah Wasif.

“Ain!” Laung Aidyn. Tetapi Ain tak mempedulikannya. Aydin tidak mahu Ain fikir yang dia mementingkan harta. Dia sememangnya ikhlas.

2 comments:

Anonymous said...

Menarik tapi tak puas baca. Harap dapat dipanjangkan lagi.

Anonymous said...

best jugak citer ni cumer ending tu tergantung... buatla panjg skit..